fbpx

RM256 juta kerugian diperdaya Macau Scam tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PASIR PUTEH – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menerima laporan sebanyak 5,218 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM256 juta melibatkan penipuan Macau Scam sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK, Deputi Komisioner Datuk Rusli Mohd. Noor berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 5,725 kes dicatatkan dalam tempoh sama dan 4,962 kes pada 2018.

Katanya, meskipun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan, masih ramai golongan profesional yang terdiri daripada guru, pensyarah, ahli perniagaan, doktor dan kakitangan bank sendiri terpedaya dengan sindiket itu.

“Terdapat mangsa yang menanggung kerugian sehingga RM1 juta malah ada yang membuat pinjaman sehingga RM300,000 untuk memenuhi desakan sindiket itu. Mereka hanya membuat laporan selepas didesak oleh ahli keluarga selepas mengalami kerugian.

“Pelbagai taktik dan modus operandi yang dilakukan oleh sindiket itu termasuk menyamar sebagai pegawai mahkamah, pegawai polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Bukit Yong di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat.

Mengulas lanjut, menurut Rusli, pihak polis berjaya membuat tangkapan sebanyak 2,676 kes dan mendakwa 1,420 individu yang terlibat dalam jenayah itu di mahkamah sepanjang tahun ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati ada pihak yang sanggup menjual nombor akaun bank dan nombor pin peribadi kepada pihak tertentu dengan kadar antara RM40 hingga RM50 yang lazimnya digunakan oleh sindiket Macau Scam sebagai akaun transit penerimaan wang daripada mangsa yang diperdaya.

Tambahnya, orang ramai perlu menghubungi pihak polis sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan dan tidak perlu takut sekiranya tiada kesalahan yang dilakukan sebelum ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI