fbpx

Dapur It’am Sifar Lapar di 24 masjid dan surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Agihan makanan di bawah program Dapur It'am Sifar Lapar dibuat di 24 buah masjid dan surau terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

PUTRAJAYA – Tidak dinafikan, pandemik Covid-19 banyak memberi kesan kepada pendapatan sebahagian lapisan masyarakat di negara ini.

Prihatin dengan nasib golongan yang terjejas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Al-Bakri mengambil inisiatif mewujudkan Dapur It’am Sifar Lapar.

“Saya amat prihatin akan perkara ini dan sentiasa berusaha untuk memastikan sekurang-kurangnya ada makanan di atas meja di setiap rumah.

“Oleh itu, muncul insiatif Dapur It’am Sifar Lapar yang melibatkan 24 buah masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Zulkifli berkata, program ala soup kitchen itu dilaksanakan secara bergotong-royong dengan mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Beliau mengajak sesiapa individu yang lapar untuk ke masjid bagi mendapatkan pek makanan yang disediakan.

“Makanan yang sudah dimasak akan dibungkus untuk edaran kepada golongan sasar yang telah ditetapkan,” katanya.

Program Dapur It’am Sifar Lapar yang dilaksanakan di 24 masjid dan surau terpilih ditangguhkan sementara sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur.

Golongan sasar yang terlibat terdiri daripada anak kariah kawasan Projek Perumahan Rakyat, Projek Perumahan Awam, pelajar-pelajar sekolah yang telah dikenal pasti termasuk kategori asnaf, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta rakan kejiranan bukan Muslim yang memerlukan.

Agihan makanan itu dibuat secara mingguan untuk 300 orang penerima seminggu sekali mengikut hari yang telah ditetapkan iaitu berjumlah empat kali dalam sebulan dari Oktober hingga Disember.

Inisiatif itu boleh diikuti di Facebook Program Dapur It’am Sifar Lapar. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI