KUALA KANGSAR – Seorang penjual sate mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menakutkan anggota polis dengan melanggar keretanya dan memandu secara berbahaya minggu lalu.
Tertuduh, Rohaizad Lazim, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat hendak menakutkan penjawat awam yang sedang menjalankan tugasnya dengan cara melanggar kereta polis dari arah belakang di Jalan Taman Chandan Puteri di sini pada pukul 7 malam 12 November lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu Proton Iswara secara berbahaya kepada orang awam di jalan sama dan waktu sama.
Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kosmo! Online 13 November lalu melaporkan, tindakan seorang lelaki yang memandu kereta secara berbahaya hingga memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal dan tiga kenderaan peronda polis (MPV) menerima padah apabila dia ditahan polis. – K! ONLINE