KUALA TERENGGANU – Lebih 30 buah rumah di Kampung Losong Haji Mohd. dan Losong Haji Su di sini sekali lagi dinaiki air berikutan fenomena air pasang awal pagi ini.
Limpahan Sungai Terengganu berhampiran menenggelamkan sebahagian rumah di dua perkampungan tersebut sehingga paras 1.5 meter bermula pukul 10.30 malam kelmarin sebelum surut secara beransur-ansur mulai pukul 3 pagi ini.
Seorang penduduk, Zah Muda, 61, mengakui dia sekeluarga tidak dapat tidur lena setiap kali musim tengkujuh tiba.
“Rumah saya hampir setiap tahun dinaiki banjir ekoran fenomena air pasang setiap kali musim tengkujuh.
“Pernah sekali kami sekeluarga terperangkap di dalam rumah sebelum diselamatkan anggota keselamatan sewaktu banjir besar pada tahun 2014,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Zah yang menetap di rumah pusaka peninggalan suaminya bersama anaknya, Mohammad Saiful Bahri, 43, dan cucunya, Wan Amira Natasha, 11, juga pernah terfikir untuk berpindah.
Begitupun, hasrat itu terpaksa dipendam kerana kurang kemampuan walaupun sudah tidak tahan rumahnya asyik dinaiki banjir setiap kali musim tengkujuh. – K! ONLINE