JOHOR BAHRU – Seramai 13 mangsa termasuk 11 kanak-kanak diselamatkan anggota bomba apabila kediaman mereka di Jalan Permatang Utama, Kampung Kempas Baru di sini dinaiki air akibat hujan lebat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Kamaruzzaman Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 4.16 petang.
Menurut beliau, lima anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa terjejas.
“Ketika di lokasi, didapati beberapa rumah di kawasan berkenaan telah dinaiki air pada paras kedalaman tiga kaki setelah hujan selama kira-kira satu jam bermula pukul 2.30 petang.
“Sehubungan itu, anggota bertindak menyelamatkan 13 mangsa, terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, enam kanak-kanak perempuan dan dua wanita dewasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut mendapat bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) polis serta penduduk kampung dalam operasi berkenaan.
“Mangsa yang diselamatkan ditempatkan sementara di Balai Raya Jalan Permatang sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada pukul 5.30 petang setelah air banjir surut.-K! ONLINE