SEVILLE – Jurulatih Jerman, Joachim Low mengakui bahawa pasukannya telah mempamerkan aksi paling buruk dan serba tidak menjadi ketika tewas memalukan 0-6 kepada Sepanyol awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan Jerman telah mengalami kekalahan paling buruk dalam tempoh 90 tahun selepas kali terakhir tewas dengan jumlah jaringan yang sama kepada Austria pada 1931.
Bercakap kepada media selepas perlawanan berkenaan, Low mengakui bahawa ia merupakan ‘hari paling hitam’ dalam bola sepak juara Piala Dunia 2014 itu.
“Sangat sukar untuk menjelaskan pada saat ini. Kami berdepan hari paling hitam kerana segala-galanya tidak berjalan seperti yang dirancang. Segala-galanya sangat teruk, saya tidak nampak apa yang baik pada aksi kali ini.
“Kami cuba untuk menjadi lebih berani dengan mempamerkan aksi menyerang tetapi ia tidak berlangsung seperti yang diharapkan. Cara kami menyerang dan bertahan, semuanya tidak menjadi.
“Selepas gol pertama mereka, kami cuba menukar strategi. Kami bermain lebih terbuka tetapi Sepanyol berjaya mendapatkan kelebihan dengan cara kami beraksi. Kami tidak tersusun dan tiada komunikasi, segala-galanya ‘mati’ pada aksi itu,” katanya.
Kekalahan tersebut juga mungkin menyebabkan ramai menggesa Low mempertimbangkan semula keputusannya untuk tidak menyenaraikan tiga pemain berpengaruh, Thomas Muller, Jerome Boateng dan Mats Hummels di dalam skuad kebangsaan Jerman.
Bagaimanapun, Low tetap mempertahankan keputusannya untuk tidak membuat pusingan U mengenai keputusannya terhadap tiga pemain berkenaan.
“Kami masih mempercayai kemampuan pemain yang dimiliki. Kami berada pada landasan yang baik cuma hari ini (semalam) kami tidak menjadi sebuah pasukan yang baik seperti yang kami fikirkan sebelum ini,” jelasnya. – AGENSI