IPOH – Pengisytiharan darurat di Batu Sapi, Sabah semalam bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu ditangguhkan juga sewajarnya dipertimbangkan bagi PRK Parlimen Gerik.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara sama juga boleh dilaksanakan bagi PRK Dewan Undangan Negeri Bugaya di Sabah berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Manis Muka Mohd. Darah pada 17 November lalu.
Menurutnya, pengisytihatan darurat di kawasan yang sepatutnya diadakan PRK merupakan langkah terbaik bagi membendung wabak Covid-19.
“Saya percaya Speaker Dewan Rakyat akan memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi Parlimen Gerik dan kalau ikut peraturan, perlu diadakan PRK dalam tempoh 60 hari daripada notis kekosongan diterima.
“Bagaimanapun, mengambil pengajaran selepas Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, saya fikir mungkin perkara yang sama boleh diadakan di Gerik, malahan juga di DUN Bugaya di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Program Projek Khas Tani Covid-19 di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bersetuju mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, Sabah bagi menangguhkan PRK yang sepatutnya diadakan pada 5 Disember ini.
Keputusan dibuat bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat wabak Covid-19, selepas mendengar taklimat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, ditanya sama ada Bersatu berminat untuk meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Gerik, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, parti itu akan bekerjasama dengan UMNO dan Pas.
“Mereka telah jadi rakan kami dalam PN (Perikatan Nasional) dan kami akan sepakat untuk letakkan seorang calon tanpa perlu berlawan sesama sendiri,” katanya.
Ahli Parlimen Gerik dari Barisan Nasional (BN), Datuk Hasbullah Osman, 63, meninggal dunia di Raub akibat serangan jantung pada Isnin lalu. -K! ONLINE