PETALING JAYA – Penyanyi Shiha Zikir meluahkan rasa syukur dan gembira apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul 7 Nasihat pada Separuh Akhir Muzik-Muzik, Sabtu ini.
Menurut penyanyi berusia 33 tahun itu, selepas dimaklumkan untuk menggantikan Siti menyanyikan lagu tersebut, perasaannya bercampur-baur dan juga terharu.
“Semua perasaan bercampur-baur sekarang. Terharu, gembira, takut semua ada.
“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan, Kak Iti (panggilan Siti Nurhaliza) sayang,” kata Shiha menerusi akaun Instagramnya.
Menurut Shiha, dia dimaklumkan perkara tersebut selepas beberapa hari lagu 7 Nasihat diumumkan layak masuk ke SAMM35 dan telah mendapat persetujuan daripada komposer, syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan pihak Siti sendiri.
Pada masa sama, penyanyi itu turut melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menyanyikan lagu 7 Nasihat yang dianggap sebagai lagu sempurna.
“Ini merupakan salah satu pengalaman yang sangat berharga buat Shiha. Doakan semoa semuanya dipermudahkan,” ujarnya.
Terdahulu, Shiha pernah merakamkan merakamkan video nyanyian semula lagu 7 Nasihat dan pernah dijemput untuk menyanyi bersama Siti ketika penyanyi tersohor itu membuat sesi nyanyian secara langsung dalam Instagramnya.
Pada Separuh Akhir Muzik-Muzik nanti, Shiha akan menyampaikan lagu tersebut bersama pemuzik dan penyanyi rap Luca Sickta serta Kmy Kmo.
Ini bukan kali pertama, lagu dendangan Siti Nurhaliza dinyanyikan penyanyi lain. Pada tahun lalu, penyanyi Bob Yusof telah menggantikan Siti untuk menyampaikan lagu Anta Permana pada Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-34. Kemuncaknya, lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong tersebut berjaya mendapat tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34). -K! ONLINE