PETALING JAYA – Atlet gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi mengakui berasa teruja apabila Barbie menghasilkan anak patung wataknya sempena kempen mereka, Anda Boleh Jadi Apa Saja.
Katanya, dia berasa sangat terkejut apabila dihubungi Barbie dan dimaklumkan bahawa mereka mahu menghasilkan anak patung istimewa buatnya.
“Saya berasa terkejut, saya tidak pernah menyangka akan menerima anak patung Barbie istimewa. Ia menyerupai saya!
“Saya sangat gembira dan berasa bersyukur kerana dipilih. Ia merupakan satu penghormatan,” katanya di laman Instagram kelmarin.
Farah Ann berkata, dia sering bermain dengan anak patung Barbie, menjadikannya sebagai gimnas kecil dan membuatkannya beraksi di arena buatannya.
“Mempunyai satu anak patung yang menggambarkan impian anak kecil itu adalah menakjubkan,” katanya.
Menurutnya, dia mendukung dan mempercayai kempen Shero yang selari dengan kempen Anda Boleh Jadi Apa Saja Barbie, yang mana ia bermatlamat merangsang potensi setiap anak gadis.
“Setiap impian anak gadis perlu dipupuk dan mereka perlu diberikan peluang untuk mencapainya serta berusaha ke arah matlamat tersebut,” katanya. – K! ONLINE