fbpx

Bekas Pengarah Jabatan Perlesanan MPHTJ didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafizawati diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

MELAKA – Seorang bekas Pengarah Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini,hari ini atas pertuduhan menggunakan minit mesyuarat palsu bagi mengeluarkan peruntukan membeli baju-T dan apron, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Hafizawati Ahmad, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa semasa bertugas sebagai Pengarah di Jabatan Perlesenan MPHTJ secara tidak jujur menggunakan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan dan Perniagaan yang diketahui adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan wanita terbabit kira-kira pukul 2.30 petang di Bilik Mesyuarat Hang Tuah pada 10 April 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, minit mesyuarat itu digunakan bagi mendorong pihaknya mengeluarkan sejumlah wang bernilai lebih RM13,000 sebagai tuntutan pembelian baju-T dan apron bagi kegunaan pihak berkuasa tempatan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah cadangan RM5,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan syarat tambahan dipohon Irwan dilaksanakan.

Mohd. Nasir kemudian menetapkan tarikh 24 Disember 2020 bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI