fbpx

9,167 kes Covid-19 dikesan melalui MySejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Aplikasi pintar MySejahtera yang dibangunkan bagi membantu pengurusan pandemik Covid-19 di negara ini berjaya mengesan sebanyak 9,167 kes positif sejak ia dilancarkan pada 20 April lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, secara purata kes positif Covid-19 yang berjaya dikesan menerusi aplikasi tersebut adalah 18.2 hingga 44.3 peratus.

“Peratusan tersebut berubah dari semasa ke semasa kerana ia bergantung kepada jumlah kes harian serta jumlah kes yang menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Justeru, aplikasi ini banyak membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengesan kes-kes positif Covid-19 melalui dua kaedah iaitu penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna dan pengesanan kontak rapat melalui semakan data,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi kaedah penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna, kes dikesan apabila seseorang itu menilai risiko terhadap Covid-19 mengikut kriteria dalam garis panduan KKM.

“Sehingga semalam, sebanyak 1,561 kes atau 3.1 hingga 6.5 peratus telah berjaya dikesan dan disahkan positif dengan menggunakan kaedah penilaian kesihatan kendiri,” katanya.

Bagi pengesanan kontak rapat melalui semakan data, Noor Hisham berkata, ia dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan pangkalan data MySejahtera iaitu pengguna berpotensi sebagai kontak rapat kepada kes positif akan dikesan melalui aplikasi ini.

“Sehingga semalam, sebanyak 7,606 kes Covid-19 atau 15.1 hingga 37.8 peratus telah dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak menggunakan MySejahtera,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, untuk pengesanan kontak, data MySejahtera yang diperlukan akan disalurkan kepada PKD untuk membantu aktiviti lapangan dan dianalisis dengan penemuan siasatan lapangan seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak.

“Data-data pengesanan kontak dikumpul melalui modul MySejahtera Check-In iaitu rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis.

“Sebagai contoh untuk Kluster Utama, seramai 17,260 pengguna dikenal pasti melalui aplikasi MySejahtera sebagai pengunjung ke pusat membeli-belah terlibat dalam suatu tempoh masa tertentu.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,343 individu telah dikenal pasti untuk penilaian lanjut oleh PKD dengan 457 orang disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif Kluster Utama,” katanya.

Ujarnya, ujian persampelan seterusnya mengesahkan seramai 221 kes positif daripada 457 individu kontak rapat bagi kluster tersebut.

“Daripada 236 kes positif bagi Kluster Utama yang diumumkan pada hari sama, 221 kes atau 93 peratus berjaya dikesan menggunakan aplikasi MySejahtera,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini MySejahtera telah merekodkan 1.7 bilion jumlah kumulatif daftar masuk ke premis berdaftar menggunakan imbasan kod QR dengan purata 15 juta daftar masuk sehari.

Katanya, ia juga telah membantu merungkai 523,000 persoalan pengguna malah, aplikasi ini berjaya mendapat penarafan 4.7 bintang di dalam aplikasi Apple Store dan Google Playstore.

“Aplikasi ini juga menerapkan ciri-ciri keselamatan yang mematuhi piawaian global untuk melindungi kerahsiaan dan keselamatan data.

“Data dikumpul melalui Mysejahtera bagi pengesanan kontak sahaja dengan punca kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988” dan “Akta Perubatan 1971”.

“Maklumat peribadi pengguna yang dikumpulkan juga dilindungi oleh “Akta Pelindungan Data Peribadi 2010” manakala, data Check-In yang dikumpulkan akan diarkibkan selepas 30 hari dan akan dihapuskan selepas 90 hari,” katanya.

Beliau menambah, aplikasi tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan dan sehingga semalam, MySejahtera sudah mencapai 23,953,970 pengguna serta tanggungan yang berdaftar serta 1,058,853 premis perniagaan berdaftar. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI