KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 8 Disember ini bagi pengurusan kes rayuan bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang dihukum penjara lapan bulan kerana mendatangkan kecederaan terhadap anak lelakinya, dua tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan, peguam Amir Farid Mohd. Nawawi yang mewakili Armin Zaharin ketika dihubungi di sini hari ini.
Amir berkata, semalam pihaknya telah menerima e-mail daripada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar yang memaklumkan bahawa tarikh pengurusan kes yang baharu ditetapkan pada 8 Disember ini.
“Mahkamah juga telah memberikan arahan berkenaan masa untuk perayu memfailkan petisyen rayuan,” katanya menerusi WhatsApp.
Pada 28 September lalu, Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Armin Zaharin selepas dia didapati bersalah sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya berumur 9 tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari 2018.
Berikutan itu Armin Zaharin didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sabreena bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga selesai proses rayuan, namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.
Armin Zaharin yang juga bekas pramugara ditangkap pada 2 Mac 2018, selepas Ziana, 52, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Februari 2018. – K! ONLINE