BEIJING – Bayi kembar siam yang berumur sehari di China berjaya dipisahkan menerusi satu pembedahan selama dua jam, demikian menurut laporan akhbar Daily Mail kelmarin.
Kedua-dua bayi perempuan itu melekat pada bahagian perut iaitu berkongsi tulang dada, dinding abdomen dan tali pusat semasa lahir di wilayah Xinjiang pada Khamis lalu dan bayi kembar itu disahkan stabil.
Seramai 13 petugas perubatan termasuk doktor menjalankan pembedahan sulung membabitkan kes bayi kembar di wilayah berkenaan.
Pasangan bayi itu lahir pada usia kandungan 34 minggu dan mempunyai berat 4.5 kilogram.
Ibu bapa mereka tinggal di kawasan pinggir bandar Urumqi, ibu negeri wilayah Xinjiang dan memiliki seorang lagi anak berumur tiga tahun.
Sebelum pembedahan pada Jumaat lalu, pasukan doktor di Hospital Kanak-Kanak Xinjiang tidak menolak ada kemungkinan mereka berkongsi hati.
“Kami mungkin terpaksa memisahkan pasangan kembar siam ini yang bercantum pada tulang dada, dinding abdomen dan hati,” kata Timbalan Pengarahnya, Li Shuixue.
Kenyataan Li itu dibuat melalui Hospital Rakyat Wilayah Xinjiang yang mengawal selia Hospital Kanak-Kanak Xinjiang.
Semasa pembedahan, ubat bius diberi kepada salah seorang bayi dan doktor menunggu sehingga keadaannya stabil sebelum ubat sama diberi kepada kembarnya.
Selepas memisahkan tali pusat dan dinding abdomen, pakar bedah mendapati setiap bayi ada mempunyai hati sendiri dan organ-organ lain berfungsi dengan normal.
Kedua-dua bayi itu kini berada di unit penjagaan rapi neonatal hospital sama dan diberi pengawasan 24 jam. – Agensi