PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan 15,653 pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2020 dari 9 hingga 17 November lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah pemeriksaan yang dilakukan Bahagian Penguat Kuasa itu, 651 pemeriksaan dilakukan ke atas pemborong manakala sebanyak 15,002 pemeriksaan ke atas peruncit.
Beliau berkata, sejumlah 57 tindakan undang-undang telah diambil terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan.
“Menerusi pemeriksaan itu juga pihak berkuasa telah memperoleh jumlah sitaan bernilai RM3,697.96 dan juga kompaun sebanyak RM8,100,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, tindakan undang-undang turut diambil ke atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang melibatkan lima kes dan 52 kes atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga.
” Selain itu, KPDNHEP telah menerima dan merekodkan sebanyak tiga aduan yang berkaitan semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2020,” katanya.
Alexander berkata, berdasarkan pemantauan KPDNHEP dan maklum balas orang ramai, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2020 berjalan dengan baik dan telah mencapai objektif seperti yang dirancang.-K! ONLINE