PETALING JAYA – Kegiatan seorang lelaki warga Mesir yang menyewa bilik hotel untuk dijadikan makmal memproses dadah dilumpuhkan selepas dia diberkas polis kelmarin.
Suspek berusia 44 tahun itu diberkas di sebuah hotel di Dataran Sunway, Kota Damansara pada pukul 7.15 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, hasil siasatan mendapati suspek aktif mengedar dadah yang diproses sejak dua bulan lalu di sekitar Lembah Klang.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas bahan kimia yang dipercayai untuk menghasilkan dadah, wang tunai RM710 dan syabu seberat 150 gram bernilai RM6,750.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, hasil semakan juga mendapati suspek menyewa hotel berkenaan bagi tempoh dua bulan dengan kadar sewa RM700 sebulan.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – K! ONLINE