fbpx

Tapak WCE curi air berjumlah RM80,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pit Mui (kiri) menunjukkan sambungan paip yang dilakukan bagi mencuri air terawat secara haram di tapak pembinaan WCE, Kampung Olak Lempit, Kuala Langat hari ini. FOTO : ZULFADHLI ZAKI

KUALA LANGAT- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah tapak projek pembinaan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat ( WCE ) yang mencuri bekalan air terawat secara haram di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit di sini hari ini.

Kegiatan sambungan haram daripada tapak pertanian berhampiran itu sejak Januari lalu itu mengakibatkan kerugian sebanyak RM80,000.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Loh Pit Mui berkata, serbuan tersebut hasil aduan terima pihaknya daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berhubung aktiviti tidak bertanggungjawab berkenaan.

“Siasatan mendapati modus operandi mereka dengan melakukan sambungan paip sepanjang 200 meter sebelum tetiang meter milik sebuah tapak pertanian berhampiran tapak projek tersebut.

“Sambungan paip itu disalurkan ke dalam kawasan tapak pembinaan iaitu di rumah kongsi pekerja bagi kegunaan harian dan lain-lain aktiviti berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, hasil ujian klorin di kolah takungan dalam kawasan rumah kongsi tersebut didapati merupakan air terawat yang dibekalkan Air Selangor.

Sehubungan itu, Pit Mui menegaskan pihaknya mengeluarkan notis di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, Air Selangor juga akan mengambil tindakan dengan menuntut kerugian atas segala kerugian setelah siasatan terperinci selesai dijalankan,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI