fbpx

Faktor PRK Batu Sapi wajar dielakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri berpandangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah boleh dielakkan atas beberapa faktor dengan mengambil ikhtibar kesan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menjadi punca penularan gelombang ketiga Covid-19 dalam komuniti.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan mengambil kira salah satu faktor iaitu ancaman terhadap kesihatan awam, PRK Parlimen Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat namun pematuhan terhadap peraturan itu didapati amat lemah hingga wabak Covid-19 sukar dibendung.

Menurutnya, pihak SPR juga menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan tinggi terkena jangkitan Covid-19 ketika bertugas.

“Risiko jangkitan dalam kalangan petugas pilihan raya tidak boleh dipandang ringan kerana mereka akan berurusan secara langsung dengan para pengundi yang berkemungkinan terdedah kepada wabak Covid-19.

“Disebabkan kebimbangan ini, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya setakat 6 November lalu. Jumlah ini hanya 17.1 peratus berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, faktor seterusnya iaitu pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi yang tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata, hal tersebut akan meningkatkan risiko penularan Covid-19 ke daerah-daerah lain di negeri Sabah.

“Sebagai contoh, pegawai-pegawai SPR yang berkhidmat di Kota Kinabalu akan bergerak ke Sandakan untuk membantu melaksanakan PRK Batu Sapi.

“Perjalanan mereka sejauh 370 kilometer akan melalui beberapa daerah seperti Tuaran, Ranau, Telupid dan Beluran yang dikategorikan sebagai kawasan merah atau kuning,” katanya.

Muyhiddin berkata, selain pergerakan pegawai SPR, para pengundi berdaftar di Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi yang tinggal di daerah lain juga akan melakukan perjalanan merentas daerah bagi tujuan mengundi.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan ketika ini tidak membenarkan perjalanan rentas daerah, pergerakan pengundi rentas daerah tidak boleh dihalang kerana hak mereka untuk mengundi adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini juga akan meningkatkan risiko penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PRK Batu Sapi juga boleh dielakkan dengan mengambil kira kebimbangan mengenai risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi terutamanya warga emas yang merupakan golongan berisiko tinggi.

Beliau berkata, daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas.

“Jika pilihan raya diadakan dan mereka keluar mengundi atau mengikuti aktiviti kempen pilihan raya, tiada jaminan bahawa mereka tidak akan terkena jangkitan Covid-19 yang boleh membawa maut.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, yang keutamaannya ialah untuk melindungi nyawa setiap rakyat, situasi seperti ini mestilah dielakkan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, faktor kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan Sandakan sekiranya penularan Covid-19 berlaku secara mendadak selepas pilihan raya kecil diadakan turut diambil kira.

Katanya, pada masa ini pun, kesan ekonomi telah dirasai oleh rakyat yang terpaksa melalui kehidupan yang sukar.

“Ada yang mengalami kehilangan pekerjaan dan putus mata pencarian akibat wabak ini.

“Kita tidak mahu berlaku lonjakan kes-kes baharu Covid-19 di Batu Sapi khususnya, dan di Sabah amnya sekiranya pandemik ini menular selepas PRK Batu Sapi diadakan,” katanya.

Tambahnya, hal itu tentu sekali akan menjejaskan usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan yang sebahagian besarnya agak keletihan setelah sekian lama berhempas-pulas membendung wabak ini.

“Berdasarkan faktor-faktor ini, Jemaah Menteri berpandangan PRK Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai, iaitu apabila pandemik Covid-19 berakhir,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat dan memasyurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu membolehkan PRK Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember depan dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI