PETALING JAYA- Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menolak Belanjawan 2021 jika kerajaan tidak mengikuti 12 syarat yang dikemukakan parti itu.
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, syarat itu adalah untuk memastikan kerajaan tidak boros berbelanja ketika waktu krisis ekonomi dan kesihatan.
“Pertama, tunda semua projek pembangunan premis kementerian yang tidak menjadi keutamaan ketika ini.
“Contohnya, RM65 juta untuk bangunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, RM265 juta untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), RM63.9 juta untuk naiktaraf bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan lain-lain lagi yang berjumlah keseluruhan RM736.6 juta,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Bangunan Parlimen hari ini.
Katanya, syarat kedua ialah mengurangkan peruntukan kepada JPM, yang meningkat daripada RM7.9 bilion kepada RM11.7 bilion.
Syarat lain termasuk menunda semua projek mega bernilai RM15 bilion untuk diberikan kepada lebih banyak projek-projek kecil, dan mengurangkan jumlah menteri kabinet serta memotong gaji menteri dan timbalan sebanyak 30 peratus sehingga penularan Covid-19 terkawal.
“Lebih baik buat seperti negara Itali, gugurkan sahaja jawatan-jawatan timbalan menteri buat seketika,” katanya.
Ujarnya, Pejuang juga mahu peruntukan RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan dan 85.5 juta kepada Jabatan Hal-Ehwal Khas (Jasa) digugurkan.
“Keenam, pasti sumbangan one-off kakitangan kerajaan memberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan dan tambahkan bantuan penjaja kecil yang terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ketujuh, tambahkan peruntukan untuk memerangi Covid-19 dengan membiayai ‘mass-testing’ bukan sahaja untuk warganegara kita dan juga warga asing, sama ada yang sah atau tidak sah,” katanya.
Lain-lain syarat termasuk sejumlah peruntukan untuk penciptaan vaksin Covid-19 tempatan, tambahan peruntukan untuk penyakit tidak berjangkit, pinjaman tanpa faedah untuk industri kecil dan sederhana, unjuran baharu hasil dan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengarahkan bank melanjutkan moratorium pinjaman selain membenarkan pencarum mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. -K! ONLINE