AKTOR serba boleh Ji Sung yang baru tiba di Korea Selatan baru-baru ini didapati negatif Covid-19 selepas menjalani dua kali ujian saringan.
Ji Sung sebenarnya baru pulang dari Hawaii selepas menghabiskan masa bersama keluarganya untuk bercuti di sana. Dia pulang ke Korea untuk kembali bekerja menjalani penggambaran drama Devil Judge.
Wakil agensinya memberitahu, peminat tidak perlu berasa risau kerana aktor itu sudah pun melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum dan selepas melakukan perjalanan pulang ke Korea Selatan.
Prosedur tersebut wajib dilakukan semua orang yang memasuki Korea Selatan selepas kembali dari negara luar seperti disarankan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19.
Kini pelakon drama Kill Me Heal Me itu menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu sebelum memulakan penggambaran drama berkenaan yang hanya menunggu tempoh kuarantinnya tamat.
Menerusi Devil Judge, Ji Sung dilaporkan membawa watak utama iaitu seorang peguam bernama Kang Yo-han.
Devil Judge merupakan karya Moon Yoo-seok yang sebelum ini pernah menghasilkan skrip untuk drama Miss Hammurabi.