PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Media Prima Berhad (MPB)
bersetuju berkerjasama bagi menyiarkan Slot Program TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV@NTV7 di saluran NTV7.
KPM dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu adalah inisiatif tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang sebelum ini disiarkan menerusi saluran TV Okey, RTM dan saluran Tutor TV, di Astro.
Menurutnya, Slot Program TV Pendidikan ini adalah usaha bagi membolehkan murid
mendapat akses kepada bahan pembelajaran, terutama ketika lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Inisiatif ini juga adalah untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.
“Sebagai permulaan, slot TV Pendidikan di saluran NTV7 akan mula bersiaran pada
23 November ini sehingga 31 Disember depan,” katanya di sini tadi.
KPM berkata, program itu akan disiarkan selama tiga jam pada setiap Isnin hingga Jumaat dan waktu siarannya pula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Pada masa sama, katanya, KPM dan MPB juga sedang dalam rundingan bagi meneruskan slot ini pada tahun 2021.
Mengulas lanjut, menerusi kerjasama itu juga, jumlah slot TV Pendidikan kini adalah sebanyak sembilan jam sehari.
“Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan. -K! ONLINE