PONTIAN – Hati ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak terunanya terbaring lesu selama setahun dengan hanya sekali sekala kedipan mata atau anggukan kepala tanda memahami apa yang diucapkannya.
Itulah yang berlaku kepada Abdilah Mohamed, 35, yang kini berada dalam keadaan separa koma apabila terlibat dengan kemalangan di Kulai pada 26 November tahun lalu ketika menziarahi rakannya.
Menceritakan detik itu, ibunya, Masrini Tasripan, 70, dia sekeluarga hanya mengetahui kemalangan melibatkan Abdilah apabila menerima panggilan telefon daripada pihak polis yang mengatakan anaknya berada di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Katanya, panggilan tersebut mengejutkan semua ahli keluarga di rumah kerana Abdilah telah dua hari tidak pulang selepas melawat rakannya di Kulai yang ketika itu cuti umum.
“Kami sekeluarga tidak mengetahui mengenai punca kejadian yang menimpa anak ke empat dari lima beradik ini, kemungkinan terlibat dalam kemalangan atau disebabkan perkara yang lain.
“Disebabkan kecederaan teruk di kepala, pembedahan membuang tempurung telah dijalankan kerana berlakunya pendarahan pada bahagian kepala yang kini diganti dengan tempurung baharu,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Selangor, di sini, kelmarin.
Sementara itu Suhaila, 40, berkata, setakat ini ini semua perbelanjaan rawatan dan pembelian peralatan seperti tiub kencing, lampin pakai buang, susu formula khas dan tiub hidung dikongsi bersama ahli keluarga.
Katanya, setiap bulan adiknya memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1,200 termasuk RM900 untuk pembelian susu formula khas dimana tiga tin diperlukan untuk tempoh seminggu.
Orang ramai yang bersimpati dan berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Suhaila ditalian 012 775 8496 atau Pertubuhan Amal Kebajikan Pontian Razali menerusi talian 017 713 0082 dan Ibrahim 019 767 4278.