PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kadar kematian di Malaysia akibat Covid-19 masih berada pada tahap rendah iaitu sembilan kematian bagi setiap sejuta penduduk.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon berkata, berdasarkan data antarabangsa, Worldometer.info, kematian bagi setiap satu juta penduduk di Amerika Syarikat adalah 741, United Kingdom (732), Indonesia (54) dan Filipina (70).
Beliau berkata, analisis juga menunjukkan kematian Covid-19 di negara ini kebanyakannya terdiri daripada pesakit berusia 50 tahun ke atas iaitu sebanyak 85.4 peratus.
“Lain-lain faktor utama yang turut menyumbang kepada kematian pesakit Covid-19 di Malaysia adalah bilangan komorbiditi yang dihidapi seperti penyakit darah tinggi, penyakit kencing manis dan penyakit jantung serta jangkamasa pesakit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.
“Pelbagai strategi dirancang dan dilaksanakan oleh KKM telah menunjukkan kesan positif di mana kadar kematian yang direkodkan setakat ini di Malaysia adalah 0.6 peratus masih rendah berbanding rekod kematian di negara lain,” katanya menerusi kenyataan dikongsi Facebook KKM, hari ini
Rohaizat berkata, perjuangan dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 ini masih belum selesai dan kementerian masih berusaha bagi mempertingkatkan kadar sembuh dan mengurangkan kadar kematian Covid-19.
Beliau berkata, kementerian juga akan terus meningkatkan tahap penyampaian kesihatan kepada semua pesakit sama ada pesakit Covid-19 atau pesakit bukan Covid-19.
Menurutnya, KKM akan sentiasa memastikan kesiapsiagaan fasiliti hospital termasuk kelengkapan Unit Rawatan Rapi dan alat bantuan pernafasan (ventilator), Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
“KKM juga akan memastikan kesiapsiagaan makmal, pengagihan pakaian perlindungan diri (PPE) dan konsumabels serta mobilisasi anggota kesihatan turut berada pada tahap yang lebih optimum,” katanya.
Katanya, sehingga kini, dunia masih bergelut memerangi pandemik Covid-19 dan pelbagai usaha dilaksanakan di peringkat global mahupun Malaysia untuk memenangi peperangan ini.
Justeru, katanya, kerjasama yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pengorbanan besar petugas barisan hadapan serta petugas belakang tabir sangat dihargai. – K! ONLINE.