NAMA atau jenama K-Clique mula mencuri tumpuan terutama selepas single berjudul Mimpi (featuring Alif) diluncurkan sekitar setahun lalu.
Sejak itu, kumpulan yang dianggotai lapan anak muda iaitu MK, Noki, Tuju, SoMean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas tidak lagi memandang ke belakang. Mereka terus berusaha keras memahat nama dengan panji-panji muzik yang mudah diterima pendengar.
Mereka kian mencuri hati para penonton dengan karya-karya hebat beridentiti tersendiri seperti Merais dan Pulang.
Pada masa yang sama, lagu-lagu terdahulu seperti Sah Tu Satu, Lane Lain Line dan Licik yang dahulunya ‘senyap’ kembali meriah berkumandang
HibGlam sempat mencuri kesempatan berborak panjang melalui panggilan telefon dengan seorang daripada anggota K-Clique iaitu FareedPF.
Kini, K-Clique barangkali artis hip hop paling digeruni dan digemari ramai. Sejak lagu Mimpi, mereka terus mencipta kejayaan demi kejayaan. Terbaharu, mereka dicalonkan dalam kategori Artis Asia Tenggara Terbaik pada Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 (MTV EMA 2020).
Biarpun tewas di tangan penyanyi kelahiran Vietnam bernama Jack, K-Clique tetap berbangga menerima pencalonan di luar Malaysia.
“Sejujurnya, saya sendiri bingung dengan pencapaian kami. Kami bermula dengan keadaan yang betul-betul sifar.
“Kami buat sahaja apa yang kami suka dan tidak sangka sampai ke tahap ini. Tercalon pula dalam EMA, itu satu perkara yang tidak pernah kami fikirkan. MasyaAllah,” kata pemilik nama sebenar, Fareed Saddi itu.
Biarpun dijulang tinggi mana, Fareed menegaskan mereka sentiasa beringat agar sentiasa merendah diri.
“Melangit tinggi macam mana sekalipun, jangan lupa tunduk ke bumi. Pada masa yang sama, sebagai anak seni, dalam pada kita merendah diri, kita perlu terus ‘lapar’.
“Lapar untuk melahirkan karya-karya yang berkualiti demi para peminat yang sentiasa menyokong,” kata Fareed.
Akui Fareed jujur, pernah ada suatu ketika saat nama K-Clique mula menyinar, mereka tidak dapat nafikan pernah dihambat kejutan budaya.
“Adat menjadi anak seni, kalau kita mencapai sesuatu kejayaan, kita akan lupa dan terlena apabila dijulang dengan segala pujian daripada khalayak. Itu lumrah manusia.
“Mujur kami berlapan dan kalau itu (kejutan budaya) yang berlaku, kami sentiasa bersama untuk mengingatkan diri agar sentiasa tunduk membumi pada hari-hari mendatang,” tutur Fareed.
K-Clique dihuni lapan orang ahli, tanpa berselindung Fareed mendedahkan, pernah beberapa kali kumpulan tersebut diuji dengan kemungkinan untuk berpecah.
Beberapa ahli K-Clique seperti MK dan Tuju pernah ditawarkan untuk bergerak solo, namun sebagai sebuah kumpulan, hajat tersebut dipertimbangkan dengan perbincangan menyeluruh.
Berpecah
“MK dan Tuju misalnya pernah ditawarkan untuk bergerak solo oleh beberapa syarikat pengurusan atau rakaman. Kami sekumpulan ada berbincang.
“Penyelesaiannya mudah. Mahu buat projek solo, silakan. Sesiapa dalam kalangan kami berlapan berhak untuk buat projek solo tetapi K-Clique tetap hidup dan akan diberikan keutamaan yang tidak berbelah bahagi.
“Sebab itu kalau anda perasan, setiap ahli K-Clique bebas ada kolaboratif dengan mana-mana artis yang mereka suka. Itu budaya yang kami amalkan sejak dahulu,” katanya.
Ditanya sama ada dia sendiri pernah berasa iri hati dengan kejayaan beberapa ahli K-Clique yang lebih menonjol secara solo, jawab Fareed: “Bagi saya, tiada istilah iri hati. Saya sendiri amat berbangga dengan kejayaan kawan-kawan dalam K-Clique.
“Macam lagu Pulang sekarang sedang menjadi siulan ramai dan menjuarai carta-carta lagu.
“Saya tumpang gembira dengan kejayaan seperti itu. Insya-Allah banyak lagi akan dikongsi kepada peminat selepas ini.”
Susah orang tak nampak
Meneruskan perbualan, Fareed memaklumkan, kejayaan tidak datang bergolek buat K-Clique.
Mereka juga berdepan kesusahan sewaktu baru hendak bermula suatu masa dahulu.
Berpusat di Sabah, agak sukar untuk mereka bergerak ke Kuala Lumpur dan seterusnya membina nama di sebuah kota metropolitan.
Cerita Fareed: “Lumrah menjadi anak seni atau pemuzik, kami berjalan jauh dan kebanyakan masa, kami berpindah-randah dan makan pun tidak menentu. Dahulu, Tuju pun pernah kerja cuci kereta sebelum jadi artis.
“Ada waktu, makan mi segera dan waktu tidur pun tidak tentu. Apabila fikir balik, semua pengalaman susah mengajar kami untuk sentiasa bersabar dalam mengejar impian,” kata Fareed yang merupakan adik kepada pelakon dan penyanyi, Sabhi Saddi.
Mengulas lanjut tentang kepayahan yang dilalui, Fareed mendedahkan, pandemik Covid-19 banyak memberi dampak kepada K-Clique.
Banyak agenda tergendala. sementelah virus tersebut masih belum menunjukkan jalan pulih.
“Banyak persembahan terpaksa dibatalkan. Sekarang pun, NastyNas, KDeaf dan saya ‘tersekat’ di Sabah. Yang lain-lain di Kuala Lumpur.
“Saya berharap keadaan akan bertambah baik dari semasa ke semasa. Susah untuk kami orang muzik bekerja kalau keadaan sebegini terus berlanjutan. Untuk buat persembahan, sudah tentu kena ada penonton.
“Ada penonton di depan mata, dia punya semangat atau ‘vibe’ lain macam sedikit. Sejujurnya, kami rindu buat persembahan seperti sebelum Covid-19 datang ‘menyerang’,” tutur Fareed yang pernah menuntut di Universiti Curtin, Australia dalam bidang Komunikasi Massa.
Sebelum menutup perbualan, Fareed mewakili rakan-rakannya lain menitipkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada individu yang bertanggungjawab membawa mereka ke dalam industri seni tanah air.
“Tanpa Joe Flizzow dan 16 Baris, K-Clique tidak akan berada pada tahap sekarang.
“Jadi, terima kasih Joe kerana menghimpunkan dan percayakan bakat kami,” kata Fareed yang bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Pelangi (featuring Redz) pada 11 November ini.