fbpx

Jangan ambil ringan jenayah siber – Syafie Naswip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIE NASWIP

MINGGU lalu pelakon Syafie Naswip menerima kiriman mesej langsung (DM) berbaur ugutan menerusi akaun Instagramnya. 

Lebih membimbangkan, mesej tersebut juga mengancam keselamatan pelakon filem Songlap itu apabila Syfie mendakwa diugut akan disantau oleh seorang individu tidak dikenalinya.  

Enggan menunggu sehingga menjadi keruh dan tidak tahu risiko yang bakal didepani, Syafie bertindak membuat satu laporan polis di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan. 

Ikuti temu bual HibGlam bersama aktor berusia 28 tahun yang mesra disapa sebagai Ayie itu. 

EKORAN menerima mesej berbaur kecaman dan ancaman santau terhadapnya, Syafie Naswip telah membuat satu laporan polis baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh kongsikan apa yang sebenarnya terjadi sehingga Syafie nekad untuk membuat laporan polis? 

SYAFIE: Sebelum ini saya ada kongsikan tangkap layar dalam Instagram mengenai pemilik akaun palsu yang mengirimkan mesej dan mahu upah bomoh untuk santau saya. 

Apabila sudah babitkan ugutan, saya rasa perlu bertindak dan tampil buat laporan polis sebab risaukan keselamatan diri dan keluarga. 

Seandainya hasil siasatan pihak berkuasa berjaya mencari identiti sebenar individu terbabit, adakah anda mendakwanya ke peringkat serius atau saman? 

Pihak polis sedang membuat siasatan dan saya diminta untuk menunggu. Seandainya nasib dia tidak baik, maka bolehlah dapat tahu siapa pemilik akaun itu.  

Sebenarnya saya tak terfikir pun sampai ke tahap itu (saman), cuma pelik kenapa dia nak hantar mesej begitu. Saya faham itu akaun palsu. Mungkin kami akan berjumpa, berborak dan siapa tahu mungkin dia ada masalah hidup dan sengaja mahu meraih perhatian.

Difahamkan anda turut meminta mangsa buli siber lain tampil membuat laporan polis. Anda buat laporan pun sebab mahu memberi pengajaran kepada pembuli siber. Boleh perincikan?

Ya betul. Jujurnya saya tidak mahu ambil tahu pun tentang hal tetapi apabila difikirkan, agak keterlaluan pula. Jadi, saya rasa perlu bertindak. Bukan saya seorang yang menjadi mangsa buli siber tetapi ramai rakan artis dan personaliti Instagram lain turut alami hal sama. 

Lagi ramai orang laporkan kepada pihak polis, secara tak langsung  beri pengajaran yang baik dan membuka mata kita semua agar jangan ini perkara ringan.

Di sebalik akaun palsu, ada pengendalinya. Jadi, kita kena ambil langkah bijak dan laporkan pada pihak berkuasa.

 Apa harapan anda terhadap isu buli siber yang semakin meruncing dalam kalangan pengguna media sosial? 

Saya rasa apa yang saya buat itu ialah satu perkongsian baik. Jika berfikir secara baik, maka ambillah secara baik. Jika dipandang secara negatif, negatiflah jadinya.

Saya cuma mahu membuka mata orang supaya kita tahu adab dan perlakuan yang betul.  

Kalau betul mahu menegur, sila tampil berdepan dan beritahu secara beradab. Bukannya berselindung di sebalik akaun palsu dan lemparkan kecaman. Jika orang di luar sana turut alami perkara sama, silalah tampil buat laporan polis sebab bila diam, pembuli siber rasa berkuasa.  

Macam masuk rumah oranglah, kena bagi salam dan beradab. Saya harap hal ini tidak akan berlarutan dan buli siber akan dapat dicegah daripada ramai akan jadi mangsa. 

Beralih tentang karier seni. Selepas tayangan drama sensasi Demi Tuhan Aku Bersaksi baru-baru ini, apakah anda  akan pertimbangkan jika ditawarkan watak sama pada masa akan datang? 

Setakat ini saya belum fikirkan lagi dan tak berani nak janji apa-apa. Kalau secara peribadi, biarlah satu cerita itu sahaja saya bawa watak begitu (lelaki lembut). Tetapi kita tak boleh ramal masa depan. Kalau barisan pelakon dan jalan cerita menarik dan boleh datangkan kebaikan, mungkin saya akan terima.  

SYAFIE puas hati dengan respons penonton terhadap hasil lakonannya menerusi drama Demi Tuhan Aku Bersaksi.

Bagaimana dengan perkembangan terbaharu anda? 

Saya baharu selesai penggambaran drama untuk TV Alhijrah. Saya akan sambung lagi penggambaran drama untuk slot RTM. Ada juga sebuah program travelog kendalian saya berjudul Ke Mana Kita juga baharu selesai penggambaran.

Selain itu, dua buah filem lakonan saya iaitu Kenderaan Berat Ikut Kiri dan Sumpahan Jerunei juga sudah selesai penggambaran.  Kini semuanya menunggu tayangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI