PETALING JAYA- Kerajaan didesak untuk bersikap lebih tegas dalam menghadapi pencerobohan kapal Pengawal Pantai China (CCG) yang menceroboh perairan negara di Beting Patinggi Ali, kata Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau turut melahirkan rasa tidak bersetuju dengan istilah tuntuan bertindih yang digunakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar ketika menjawab soalan beliau.
“Bertindih itu jika di atas sempadan, tetapi (pencerobohan) berlaku 80 kilometer dari Sarawak, sempadan kita (adalah sehingga) 200 batu nautika.
“Ini bukan tuntutan bertindih, ini adalah pencerobohan,” katanya ketika mengutarakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar pada sesi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pagi tadi.
Katanya, tidak ada penguatkuasaan dilakukan oleh agensi terbabit seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mahupun Tentera Laut Diraja Malaysia. Sebaliknya, kapal-kapal milik agensi-agensi itu hanya mengikut rapat kapal CCG.
Ujarnya, kerajaan didesak untuk bertindak lebih tegas dengan kapal-kapal China seperti yang dilakukan oleh Indonesia, Vietnam dan Filipina.
“Walaupun ada sedikit pertempuran kecil, tetapi sekurang-kurangnya mereka (kapal CCG) tidak menghadirkan diri ke sana,” tambah Shahidan.
Dalam pada itu, Kamarudin berkata, tuntutan bertindih merujuk kepada istilah dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri Luar, Hishamuddin Hussein dan Menteri Luar China, Wang Yi pada 13 Oktober lalu. -K! ONLINE