EMPAT pemain bakal menjadi pertaruhan skuad hoki pembangunan wanita negara dalam misi melayakkan diri buat kali pertama di pentas Piala Dunia Hoki Remaja Wanita menjelang penganjuran edisi 2021 di Potchefstroom, Afrika Selatan hujung tahun depan.
Nur Amirah Syakirah Zulkifli, Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad, Siti Zulaikha Hussin dan Kirandeep Kaur Gurdip Singh perlu memikul tanggungjawab membantu Malaysia meraih salah satu daripada tiga slot ditawarkan pada Piala Remaja Asia 2021 di Kakamigahara, Jepun dari 11 hingga 17 April.
Keempat-empat pemain itu mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa bersama skuad senior sejak beberapa tahun kebelakangan ini selain Amirah dan Syafi pernah mewarnai saingan Liga Hoki Jerman bersama Bremen HC hujung tahun lalu.
Pakar flick yang juga salah seorang tonggak senior dalam skuad pembangunan ketika ini, Nuraini Abdul Rashid mengakui, mereka berempat perlu menjadi contoh kepada rakan-rakan lain yang rata-ratanya masih mentah pengalaman di persada antarabangsa.
“Empat pemain ini sudah ada pengalaman bermain di peringkat tertinggi. Sudah tentu mengharapkan mereka dapat memberikan prestasi dan persembahan terbaik buat kawan-kawan yang lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, Nuraini, 31, menyifatkan saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 di Donghae, Korea Selatan dari 31 Mac hingga 6 April amat penting dari segi pendedahan antarabangsa peringkat senior buat pemain yang akan beraksi pada Piala Remaja Asia.
“Mungkin mereka adalah yang terbaik di Malaysia tetapi situasi berbeza apabila beraksi di peringkat antarabangsa dengan menentang pemain daripada negara-negara yang ranking dunia lebih bagus.
“Jadi, saya merasakan ACT adalah medan terbaik sebagai pendedahan dan pengalaman mereka beraksi di pentas antarabangsa sekali gus dimanfaatkan untuk menghadapi Piala Remaja Asia beberapa hari selepas itu,” jelas Nuraini.