fbpx

DPMM Johor mohon dana pinjaman khas PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Farhan Basheer

JOHOR BAHRU – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor memohon kerajaan menyediakan dana pinjaman khas bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di seluruh negara ketika ini.

Pemangku Yang Dipertua DPMM Johor, Muhammad Farhan Basheer berkata, dana berkenaan boleh dibuat secara pembiayaan modal pusingan bagi tempoh 12 bulan.

Katanya, tempoh bayaran balik pinjaman tersebut boleh ditetapkan antara tiga hingga lima tahun tanpa faedah.

“Langkah ini bagi menyelamatkan usahawan PKS yang sebelum ini mencatat jualan tahunan antara RM500,000 hingga RM3 juta daripada gulung tikar. Modal pusingan itu bertujuan menampung pelbagai kos operasi mereka.

“Ini termasuklah kos bahan mentah, logistik dan pengangkutan, gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selain bayaran pelbagai bil utiliti dan modal tunai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu, DPMM Johor juga mencadangkan agar dana khas yang sama diberi keutamaan kepada syarikat PKS yang mengalami masalah aliran tunai bagi mengekalkan tenaga kerja mereka termasuk pekerja mahir.

Pihaknya berkata, gaji yang diterima menerusi subsidi upah Perkeso sebanyak RM600 sebulan kini tidak cukup untuk memenuhi komitmen kerana sebelum pandemik Covid-19, masing-masing memperoleh gaji purata RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Kami juga meminta kerajaan memberi perhatian kepada kelangsungan usahawan wanita antaranya dengan menyalurkan peruntukan bagi pembiayaan mikro kredit khas melalui agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Mara dan Agrobank.

“Mereka juga perlu dibimbing dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, merangka strategi pemasaran dan bimbingan teknikal bagi melonjakkan kualiti produk dan prestasi niaga lebih 2,000 usahawan wanita menerusi Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro.

“Selain itu, kami juga berharap syarikat bermasalah akibat pandemik Covid-19 tidak disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn. Bhd. sepanjang tempoh program penjadualan semula.

“Usahawan PKS ini mesti diberi sokongan dan bantuan kerana menerusi mereka, dianggarkan seramai 7.3 juta pekerja dan ahli keluarga bernaung dibawah sektor berkenaan,” tambah beliau.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI