BANGKOK – Penunjuk perasaan prodemokrasi Thailand akan kembali membanjiri jalan-jalan di Bangkok hari ini, sehari selepas enam orang ditembak dengan peluru hidup dalam pertempuran ganas, ketika anggota parlimen mengundi usul rombakan perlembagaan.
Semalam menyaksikan konfrontasi paling ganas sejak gerakan prodemokrasi bermula pada Julai lalu.
Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan demonstrasi manakala penunjuk perasaan bertempur dengan penyokong monarki dekat bangunan Parlimen.
Perdana Menteri Prayuth Chan-O-Cha menggesa penunjuk perasaan untuk tidak melakukan kekerasan tetapi menolak menguatkuasakan perintah darurat sekali lagi seperti melarang perhimpunan awam lebih daripada empat orang selama seminggu seperti pada Oktober lepas.
“Tidak perlu. Ini akan mempengaruhi kestabilan negara.
.”Tidak akan ada orang yang mahu datang atau melabur di sini kerana keyakinan telah terhakis,” kata Prayuth kepada wartawan.
Sebilangan orang ramai ditembak malam semalam tetapi tidak jelas siapa yang melepaskan tembakan.
Timbalan pesuruhjaya polis Bangkok, Piya Tavichai berkata, pegawai-pegawainya sedang menyiasat kejadian tembakan yang berlaku kira-kira 300 meter dari zon tunjuk perasaan utama.
Beliau berkata, seorang penyokong institusi monarki ditembak di pinggul dan seorang penunjuk perasaan prodemokrasi terkena tembakan di kaki.
“Mangsa selebihnya masih dalam siasatan tetapi fakta kes adalah kedua-dua belah pihak ditembak dan cedera,” katanya kepada wartawan hari ini.
Bangkok digegarkan oleh demonstrasi yang dipimpin kumpulan pemuda sejak Julai lalu.
Mereka menuntut perlembagaan dirombak dan Prayuth yang merampas kuasa dalam tahun 2014, meletak jawatan.
Semalam ketika anggota-anggota Parlimen membahaskan usul rombakan perlembagaan yang dirangka oleh tentera, kumpulan penunjuk perasaan menceroboh sekatan polis dan bergerak ke Parlimen. Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan mereka.
Lebih 50 orang cedera, kebanyakannya akibat terkena gas pemedih mata, demikian menurut Perkhidmatan Koordinasi Ambulans dan Perubatan yang menyatakan, enam orang telah ditembak.
Polis bagaimanapun menafikan anggotanya menggunakan sama ada peluru getah atau peluru hidup. – AFP