fbpx

K2

Bukan jambangan bunga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEK cawan jambangan bunga ini mengandungi 13 biji kek cawan.

Mas Intan terkesima usai membaca kiriman WhatsApp yang memasuki telefon bimbitnya. Mesej yang dikirim oleh wanita Malaysia yang menetap di Australia itu dibacanya dengan perasaan sangsi akan kebolehannya melunaskan permintaan anak perantau itu.

Pengirim berketurunan India itu merayunya untuk menghasilkan kek berbentuk jambangan bunga yang bukan sahaja tidak pernah terlintas di benaknya, bahkan tidak pernah dilihatnya di mana-mana. Wanita itu mahu menghadiahkan kek tersebut kepada ahli keluarganya di tanah air.

Memang Mas Intan sudah mahir membuat kek dan menerima pelbagai tempahan bermacam rupa, namun menghasilkan kek berbentuk hadiah jambangan bunga suatu yang terlalu asing baginya.

Tidak mahu menghampakan hasrat wanita itu, Mas Intan atau nama sebenarnya Haslinda Ahmad, 38, cuba mencari maklumat pembikinannya dan berguru dengan sesiapa yang pernah membuatnya.

Pencariannya di mana-mana malangnya tidak menemukan jawapannya. Hasil cariannya di YouTube cuma menemukannya dengan satu video pembuat kek cawan seakan jambangan bunga dari luar negara namun rupanya seperti terlalu asas dan tidak begitu realistik.

Berdasarkan video itu, Mas Intan mencabar diri melakukan modifikasi sehingga dia akhirnya berjaya menghasilkan suatu yang tak pernah dijangkanya.

“Itulah permulaan saya menghasilkan kek cawan jambangan bunga pada pertengahan tahun lalu. Ramai yang betul-betul fikir itu jambangan bunga sebenar.

“Biasanya penghantaran kek cawan jambangan bunga ini saya lakukan sendiri. Semasa menghantar, saya biasanya akan segera memberitahu sesiapa yang mengambilnya ‘ini bukan bunga, ini kek ya’. Risau pula saya jika mereka terpeluk kuat sehingga musnah kek itu,” kata Mas Intan dari Jasin, Melaka kepada K2 dengan nada jenaka.

Kongsi wanita itu yang merupakan kakitangan kerajaan di salah sebuah institusi perundangan di Melaka, pesanan itu bukan sengaja diberikan tetapi kerana insiden terpeluk kuat kek sehingga nyaris musnah dek menyangkanya bunga memang pernah terjadi.

MAS INTAN bersama kek cawan jambangan bunga yang dihasilkannya.

Begitulah hebatnya hasil kerja tangan wanita dari Melaka ini. Kreativiti Mas Intan mencipta fenomena tersendiri dan tular di media sosial sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. ‘Jambangan bunga’ lengkap dengan balutan kertas bak jambangan bunga sebenar itu turut tersiar di portal-portal media.

Luar negara

Hasilnya kek cawan jambangan bunga yang dihasilkannya bukan sahaja ditempah penduduk negara ini bahkan menerima tempahan dari pemastautin-pemastautin luar negara seperti Amerika Syarikat, Turki, Australia dan

New Zealand yang mahu menghadiahkan kek tersebut kepada ahli keluarga atau kenalan mereka di Malaysia.

“Kalau bunga orang tertarik dengan harumannya, ‘jambangan bunga’ saya mungkin orang tertarik dengan kecantikan bentuk dan warnanya. Bau wanginya cumalah daripada krim mentega. Tetapi memang ada kes penerima yang mahu menghidunya seperti bunga kerana menyangka bunga sebenar,” ujarnya.

Menurutnya, ‘jambangan bunganya’ itu ialah gabungan kek-kek cawan yang dibentuk menjadi jambak bunga yang realistik dan boleh dipegang seperti jambangan bunga. Jambangan bunga itu biasanya gabungan antara dua perisa kek iaitu coklat moist dan red velvet.

KERJA tangan Mas Intan tampak penuh berseni.

Mas Intan telah mengusahakan bisnes sambilan membuat kek sejak tahun 2012 dan dia juga mempunyai kepakaran menghasilkan aneka jenis dan bentuk kek hasil pembelajaran sendiri di internet.

JAMBANGAN bunga dihasilkan Mas Intan terbentuk daripada gabungan kek-kek cawan.

Untuk membuat kek cawan jambangan bunga ini, bahan-bahan yang diperlukan antaranya ialah krim mentega (buttercream). Bunga-bunga pelbagai jenis dibentuk mengikut kreativiti Mas Intan dengan paduan warna bersesuaian. Kata Mas Intan, warna kegemarannya ialah kombinasi ungu, kuning dan merah jambu.

‘BUNGA’ yang dibentuk ini mempunyai kelopak-kelopak persis bunga sebenar.

Orang ramai mungkin melihat kek-kek cawan itu begitu rumit dihasilkan. Namun, bagi Mas Intan, kini dia mampu menyiapkan ‘jambangan bunga’ itu dalam tempoh setengah jam biarpun pada awalnya mengambil masa selama dua hingga tiga jam untuk menyiapkannya.

“Saya telah menghasilkan ratusan kek cawan jambangan bunga dan pada masa PKP lalu, saya mendapat tempahan sehingga enam atau tujuh kek cawan jambangan bunga sehari,” kata ibu kepada dua anak berusia 14 tahun dan 12 tahun itu.

Insiden kek terbalik

Kek cawan jambangan bunga tersebut dijual dengan harga RM160 sejambak. Terdapat 13 biji kek cawan pada satu jambangan.

“Bagi saya dalam pembuatan kek cawan jambangan bunga ini, kemahiran membentuk bunga itu penting. Tangan kena lembut, tak boleh keras. Kalau lambat membentuknya, krim mudah cair.

“Mungkin sebelum ini boleh dikatakan tidak ada orang membuatnya kerana tidak terfikir kewujudannya atau berasa bingung bagaimana kek boleh dibentuk menjadi jambangan. Satu lagi untuk mewujudkan rupa kek realistik bunga, perlu bijak mengadun warna. Kalau hendak tahu, saya tidak menggunakan langsung warna daripada pewarna asal sebaliknya warna yang diadunkan. Jika guna warna asal, bunga akan nampak seperti ‘kaku’ dan tidak real. Hal ini saya tidak pernah kongsikan dengan sesiapa.

“Ada pekerja bakeri bertanya bagaimana saya melakukannya kerana membuat kuntuman bunga adakalanya mengambil masa berjam lamanya. Membentuk bunga perlukan latihan. Saya juga mengambil masa untuk berlatih.

“Apabila hari-hari melakukannya, lama-kelamaan membentuk bunga menjadi mudah,” ujarnya.

SEORANG wanita di Melaka menerima kek cawan jambangan bunga yang dihadiahkan ahli keluarga dari Australia.- Foto INSTAGRAM intan_pastrycakes

Sudah namanya bak jambangan bunga, pelanggan membelinya untuk dihadiahkan kepada insan tersayang sempena Hari Ibu, Hari Bapa, ulang tahun perkahwinan, hari istimewa dan sebagainya.

Ditanya cabaran mengusahakan kek cawan jambangan bunga itu, Mas Intan berkata, bukan semasa membuat mahupun menyusunnya, sebaliknya cabaran utama ialah semasa penghantaran.

“Sudah dua kali kek ini terbalik di dalam kereta semasa saya melakukan penghantaran apabila melalui selekoh atau naik turun bukit.

“Sepanjang saya mengusahakan kek lain sebelum ini tak pernah sampai kek terbalik. Kek cawan jambangan bunga ini terlalu ringan justeru mudah terbalik dan perlu dikendalikan dengan waspada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI