KLANG – Gara-gara marah adik perempuannya yang akan diceraikan, seorang lelaki bertindak cuba membakar rumah ditumpangi adik iparnya dalam kejadian Taman Sentosa, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi pada Ahad lalu, tiga buah motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi musnah akibat perbuatan khianat tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sepasukan unit peronda polis (MPV) telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 5.24 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca masalah rumah tangga mangsa dan adik perempuan suspek yang dalam proses penceraian.
“Suspek juga tidak mahu melihat lagi mangsa terus berada di daerah ini selain menumpang di rumah rakan sekerjanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kata beliau, hasil siasatan turut mendapati adik ipar suspek telah menumpang dirumah rakannya hampir enam bulan lalu.
Shamsul Amar menambah, susulan kejadian tersebut pihaknya kemudiannya menahan dua suspek termasuk abang ipar mangsa di kawasan berhampiran pada Isnin lalu di antara pukul 12 tengah hari dan 4 petang.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Soal-siasat turut mendapati mereka mengaku melakukan jenayah tersebut bersama seorang lagi rakan suspek dikenali A. Theyagarajan, 31, atau ‘Radio’ yang masih diburu pihaknya,” katanya.
Jelas beliau, kedua-dua suspek itu kini direman selama tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api. -K!ONLINE