KOTA BHARU – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengamalkan 16 prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan penularan wabak Covid-19 di pusat pemulihan dan latihan seluruh negara.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pematuhan SOP itu memperlihatkan kesungguhan agensi itu dalam memutuskan penularan Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.
Menurutnya, meskipun, tiada lagi sebarang kes dicatatkan di pusat pemulihan dan latihan, AADK tetap berwaspada dan sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan.
“Antara SOP yang wajib dipatuhi seperti menjalani ujian saringan kesihatan, membuat ujian swab bagi mereka yang datang dari zon merah.
“Bagi memutuskan rantaian Covid-19, proses penghantaran makanan hanya dilakukan di luar pusat pemulihan. Hal ini bagi memastikan tiada interaksi rapat berlaku dengan orang luar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Malam Apresiasi Semarak Kasih AADK 2020 di salah sebuah hotel di sini semalam.
Pada majlis tersebut, AADK Kelantan turut menyampaikan Anugerah Tokoh Pemulihan 2020 kepada 10 peserta bekas penagih dadah dari seluruh daerah di negeri ini.
Selain itu, sijil penghargaan media kepada tujuh agensi media cetak dan eletronik di negeri ini.
Hadir sama, Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad dan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, sepanjang perlaksaan SOP itu, sesi kelas dan latihan turut dilakukan kawasan lapang serta luas selain menghadkan jumlah latihan serta penyampaian modul.
Katanya, kakitangan AADK turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan tidak mengambil mudah.
“Kita masih belum menang dalam melawan pandemik ini,” ujarnya. – K! ONLINE.