PETALING JAYA- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara kira-kira 25 batu nautika tenggara Pulau Perak pukul 2 petang semalam.
TLDM berkata, KD Laksamana Tun Pusmah yang sedang menjalankan operasi Ops Benteng Laut dan Ops Pejarak mengesan bot nelayan itu semasa melakukan rondaan di utara Selat Melaka.
“Pemeriksaan ke atas bot yang tidak memiliki nombor pendaftaran itu mendapati seramai lima orang awak-awak warganegara Indonesia berada di atas bot tersebut dan hanya seorang sahaja yang memiliki dokumen pengenalan diri warganegara Indonesia.
“Selain itu terdapat muatan yang terdiri daripada ikan pelbagai jenis kira-kira 40 kilogram juga dijumpai di atas bot tersebut. KD Laksamana Tun Pusmah seterusnya mengusir bot nelayan berkenaan keluar dari perairan bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, TLDM sentiasa memperkasakan Ops Benteng dengan kehadiran kapal TLDM yang beroperasi berterusan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin selain mengelakkan penularan pandemik Covid-19. -K! ONLINE