fbpx

‘Tiada duit hantar anak ke sekolah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Wahid bersama isterinya Norliana serta lapan daripada sembilan orang anaknya ketika ditemui di kediamannya di Felda Papan Timur, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – “Bukan tidak mahu menghantar mereka bersekolah, namun kami tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menyekolahkan mereka.”

Itu alasan seorang bapa, Abdul Wahid Abd. Rahman, 48, ketika ditanya mengenai kegagalannya menghantar empat anak untuk bersekolah sejak tahun 2018.

Menurut Abdul Wahid, hanya seorang daripada sembilan anaknya yang menamatkan persekolahan dan kini bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Bandar Mas di Penawar.

Katanya, empat lagi anaknya yang berusia 15, 13, 11, dan sembilan tahun masing-masing telah berhenti sekolah pada tahun 2018 selepas mereka berpindah dari Taman Dahlia di Tampoi ke Gelang Patah.

“Ketika itu saya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta sebelum berhenti dan mencuba nasib mencari rezeki dengan memandu Grab.

“Bagaimanapun, selepas mendapati kehidupan semakin sukar, kami sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah peninggalan arwah bapa di Felda Papan Timur di Bandar Mas pada penghujung tahun 2019,” katanya.

Abdul Wahid berkata, mengikut perancangan, semua anak­nya termasuk yang berusia tujuh dan enam tahun akan bersekolah di sekolah berhampiran rumah di Bandar Mas, namun hajat itu tidak dapat ditunaikan.

“Untuk menyekolahkan seramai 6 orang anak dengan dua orang di sekolah menengah, tiga orang di sekolah rendah dan seorang di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), sudah pasti memerlukan duit yang ba­nyak untuk dibelanjakan.

“Berkerja sebagai pembantu kedai mencuci kereta dengan gaji sekitar RM20 sehari memang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan kami,” katanya.

Lebih menyedihkan kata Abdul Wahid, dua lagi anaknya berusia lima dan satu tahun turut tidak diberikan susu seperti kanak-kanak lain.

“Isteri saya, Norliana Abu Bakar, 40, tidak dapat membantu mencari rezeki kerana perlu mengurus hal anak-anak di rumah,” jelasnya.

Terdahulu, kesusahan keluarga berkenaan mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang melawat ke kediaman mereka di Felda Papan Timur.

Sharifah Azizah berkata, pihaknya sudah merangka tindakan susulan untuk membantu keluarga 10 beranak ini.

Katanya, pada hari Khamis baru-baru ini, anak kedua pasangan itu yang berusia 15 tahun me­ninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan daripada kejadian itu telah menemukan pihaknya dengan keluarga berkenaan.

“Apa yang saya harapkan agar semua lima anaknya yang sepatutnya bersekolah pada tahun ini akan dapat meneruskan pem­belajaran di sekolah pada tahun hadapan,” katanya
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh berhubung terus dengan Abdul Wahid di talian 011-61236024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI