fbpx

Suspek curi komponen kenderaan nekad terjun lombong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek curi komponen kenderaan yang melarikan diri dengan terjun ke dalam lombong berjaya ditahan polis pada tengah malam tadi.

IPOH – Seorang lelaki tergamak meninggalkan anak lelakinya berusia sembilan tahun dan nekad terjun ke dalam lombong bagi meloloskan diri daripada ditangkap di Jalan Cenderawasih, Dato Ahmad Said di Jelapang semalam.

Suspek berusia 41 tahun itu bertindak melarikan diri ketika anggota Unit peronda polis (MPV) Ipoh cuba melakukan pemeriksaan ke atas kereta Proton Saga dipandunya di Jalan Sultan Azlan Shah pada pukul 7 malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek yang tidak mengendahkan arahan polis untuk memberhentikan kenderaannya telah memecut laju kereta ke Kampung Manjoi.

Katanya, apabila sampai di jalan mati di Jalan Cenderawasih, lelaki itu telah keluar dari kenderaan dan bertindak terjun ke dalam lombong tersebut.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas kereta suspek dan menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang merupakan anak lelaki itu.

“Selain itu, beberapa komponen kereta dan motosikal turut dijumpai di dalam kenderaan tersebut disyaki barang curi termasuk tayar, sport rim, enjin dan altenator,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Asmadi berkata, gerakan mencari suspek yang terjun ke dalam lombong dijalankan dengan dibantu pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anggota Balai Polis Jelapang.

Katanya, suspek berjaya ditangkap pada pukul 12.30 tengah malam tadi dengan beberapa kesan kecederaan di badan.

“Suspek yang berjaya dibawa naik didapati mengalami luka di kepala sebelah kiri dan calar di kedua-dua belah kaki akibat terkena objek semasa terjun ke dalam lombong.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menaiki ambulans APM untuk rawatan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek yang beralamat di Ipoh itu mempunyai empat rekod lampau bersabit kes curi dan dadah.

“Suspek masih menerima rawatan di HRPB manakala anak lelakinya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan. Dua beranak itu difahamkan telah sebulan tidur di dalam kereta,” katanya yang memberitahu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI