fbpx

Sukma Kelantan ditangguh ke 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Roslan (berdiri,tengah) bersama Peserta Body Transformation Challenge 2020 di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias).

KOTA BHARU – Temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ke-22 yang dijadualkan berlangsung di Kelantan pada 2024 ditangguhkan sehingga ke tahun 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu telah dipersetujui menerusi satu mesyuarat secara dalam talian bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan kerajaan negeri Kelantan pada minggu lalu.

Katanya, keputusan itu turut dipersetujui oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan atlet.

“Sukma merupakan acara sukan yang berprestij tinggi. Jadi, kita terpaksa tangguhkan dahulu demi mengambil kira aspek keselamatan, kemungkinan berisiko tinggi dan luar kawalan kerana penganjurannya melibatkan atlet seramai 10,000.

“Kita perlu mengambil kira semua aspek termasuk melibatkan atlet tersebut yang menyertai pelbagai acara sukan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Memperkenalkan Peserta Body Transformation Challenge 2020 di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di sini semalam.

Dalam majlis itu, seramai 20 peserta termasuk lima daripadanya mewakili Kias yang menyertai program tersebut berlangsung selama 31 hari bermula semalam hingga 16 Disember depan.

Hadir sama Ketua Eksekutif Kias, Professor Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin.

Mengulas lanjut mengenai penangguhan temasya Sukma, Wan Roslan berkata, meskipun penganjuran asalnya masih berbaki empat tahun, beliau bimbang sekiranya berlaku kluster baharu sekiranya ia diteruskan.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri akan terus menggunakan peruntukan sebanyak RM600 juta yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan yang sepatutnya digunakan sewaktu persediaan Sukma 2024 untuk penganjuran Sukma 2026.

Katanya, peruntukan itu akan digunakan untuk membina dan membaik pulih pelbagai kemudahan sukan di beberapa daerah di negeri ini.

“Menerusi peruntukan itu, kita akan membina stadium baharu di Bukit Merbau, Pasir Putih, pembinaan kompleks sukan tertutup, kompleks sukan renang, sukan menembak dan velodrom.

“Pembinaan itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun sebelum Sukma itu berlangsung. Venue itu boleh menganjurkan 16 acara wajib dan lapan acara pilihan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI