KUALA LUMPUR – Hanya menanggalkan pelitup muka tidak sampai seminit, pelakon Mustaqim Baharon didenda RM1,000 atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semalam.
Menurut pelakon Pujaan Hati Kanda itu, kejadian berlaku di hadapan kedai gunting rambut miliknya yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
“Saya sedang menunggu giliran untuk gunting rambut sebenarnya. Sementara menunggu pekerja saya menggunting rambut pelanggan, saya keluar dari kedai yang hanya dua langkah sahaja untuk menghisap rokok elektronik (vape).
“Tak sampai seminit, saya disapa oleh pihak berkuasa yang meminta kad pengenalan dan terus mengeluarkan saman terhadap saya.
“Saya tanya apa kesalahan saya kepada penguat kuasa terbabit, dia memberitahu saya gagal mematuhi SOP dan menanggalkan pelitup muka di tempat awam. Saya hanya tanggalkan sekejap sahaja dan pada masa itu hanya saya seorang sahaja di luar kedai, tetapi pihak berkuasa bertegas meberitahu ia tetap satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Walau bagaimanapun, Mustaqim, 35, mengakui kesilapannya dan turut berpesan kepada semua untuk tidak mengingkari peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Saya mengaku salah dan tak akan ulangi perkara sama. Saya nak ingatkan juga pada mereka di luar sana, jangan ambil mudah walaupun kita fikir tidak menjadi kesalahan kalau membuka pelitup muka dia tempat yang tidak ramai orang.
“Saya tak salahkan pihak berkuasa kerana mereka hanya menjalankan tugas. Selama ini saya memang ikut SOP dan pakai pelitup muka bila berada di tempat awam, cuma nasib saya tidak baik pada waktu kejadian,” katanya. – K! ONLINE