IPOH – Tindakan Jabatan Kesihatan Negeri Perak membuat saringan Covid-19 dalam komuniti di daerah Kinta seperti tular di media sosial adalah sebagai langkah pencegahan dan kawalan.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, pihaknya perlu mengambil langkah lebih drastik bagi membendung penularan jangkitan virus berkenaan.
“Melalui pemantauan ini, dalam tempoh 14 hari kebelakang, Mukim Ipoh, di Daerah Kinta telah melaporkan sebanyak 53 kes Covid-19 baru dan Jabatan Kesihatan melakukan pengesanan kontak rapat kepada setiap kes positif.
“Jabatan Kesihatan juga membuat saringan Covid-19 kepada kontak rapat ini dan dikuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin yang disediakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini tular beberapa gambar yang dimuat naik di laman facebook dan media sosial mengenai tindakan Jabatan Kasihatan membuat saringan Covid-19 di sebuah lokaliti di daerah Kinta berikutan daerah berkenaan yang diisytiharkan sebagai zon merah.
Lay Ming berkata, sehingga semalam, sebanyak 885 kes Covid-19 telah dilaporkan di seluruh negeri Perak dan sebanyak 9 kes kematian dilaporkan menjadikan kadar kematian Covid-19 di Perak adalah sebanyak 1.02 peratus.
“Sepanjang gelombang ketiga pandemik Covid-19, Perak telah mencatatkan sebanyak 616 kes dengan tiga kematian,”ujarnya.
Menurutnya lagi, bagi lokaliti yang dikenal pasti dengan kadar jangkitan yang membimbangkan, aktiviti pencegahan diperkukuhkan lagi dengan pengesanan kes aktif.
“Saringan kesihatan kepada penduduk yang berisiko akan dijalankan dan diambil sampel ujian. Mereka yang disaring akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah sehingga keputusan ujian diperolehi,” katanya.
Beliau berkata, semua fasiliti kesihatan yang beroperasi dalam mukim Ipoh telah diminta untuk meningkatkan saringan gejala Covid-19 bagi pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti mereka terutamanya pesakit dengan gejala jangkitan saluran pernafasan atas.
Katanya, semua pihak diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta arahan kerajaan dari semasa ke semasa.-K! ONLINE