fbpx

Pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan Untuk Kanak-kanak bermula bulan ini – KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan Untuk Kanak-kanak melibatkan semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara secara berperingkat bermula awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan pertukaran jadual imunisasi itu susulan pertukaran jenis vaksin kombinasi lima serangkai difteria-tetanus-pertussis-polio-Haemophilus influenza type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib) kepada vaksin kombinasi enam serangkai di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak.

“Vaksin enam serangkai diberikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenza type b dan Hepatitis B (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).

“Sebanyak empat dos vaksin enam serangkai akan diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan. Di samping itu katanya, vaksin Hepatitis B yang diberi selepas lahir akan terus diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Manakala, vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan pada umur satu bulan dan enam bulan tidak perlu lagi diberikan kerana komponen vaksin Hepatitis B telah terkandung dalam vaksin kombinasi enam serangkai.

“Susulan pertukaran vaksin itu, bilangan suntikan untuk mencegah enam jenis penyakit dapat dikurangkan daripada tujuh suntikan kepada hanya lima suntikan, sekali gus memudahkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

“Walaupun tiada suntikan imunisasi diberikan kepada kanak-kanak pada umur satu bulan dan enam bulan seperti sebelum ini, ibu bapa juga perlu mematuhi jadual kedatangan ke fasiliti kesihatan untuk pemantauan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak seperti yang ditetapkan dalam Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak (0-6 tahun),” tambahnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, vaksin enam serangkai adalah vaksin yang berkesan dan selamat dengan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin itu dipantau oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Sejak vaksin itu digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia pada 2013, tiada sebarang isu keselamatan serius dilaporkan.

“Namun, ia merupakan vaksin yang baharu digunakan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di fasiliti kesihatan KKM. Maka, KKM akan menjalankan pemantauan AEFI bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI