DUNGUN – Seorang peniaga maut manakala dua termasuk seorang rakannya cedera selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka merempuh sebuah Proton Wira Aeroback di Kilometer 57 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.10 petang itu, Afiq Imran Abdullah, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Mohammad Rizduan Sulong, 25, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan pula patah paha kiri.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pemandu kereta Proton Wira Aeroback, Mohd. Khainurdin Ramdan Sulong, 35, juga patah paha kiri.
Beliau berkata, sewaktu kejadian, kereta Perodua Viva dinaiki Afiq Imran dan Mohammad Rizduan dikatakan dalam perjalanan ke pekan Ajil dari pusat bandar Dungun di sini.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Afiq Imran dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudiannya merempuh hadapan kereta Proton Wira Aeroback dipandu Mohd. Khainurdin Ramdan yang merupakan buruh ladang Felda Jerangau berhampiran,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, kesemua mangsa yang tersepit di dalam keadaan kereta masing-masing remuk teruk telah berjaya dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Beliau berkata, mayat Afiq Imran telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat.
“Kedua mangsa lain yang cedera pula dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan,” katanya. – K! ONLINE