SEBERANG PERAI – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Seberang Perai Tengah menahan sepasang kekasih di dalam sebuah bilik hotel di Juru, Bukit Mertajam di sini selepas mereka didapati terlibat penyalahgunaan dadah semalam.
Penahanan ke atas pasangan berusia 27 dan 32 tahun itu dibuat kira-kira pukul 10 pagi hasil risikan selepas AADK menerima maklumat berhubung kegiatan itu.
Pengarah AADK negeri, Elmariah Chung berkata, pihaknya mendapati pasangan terbabit sering keluar masuk ke hotel itu bersama beberapa rakan sehingga menimbulkan rasa curiga.
“Justeru intipan telah dibuat sebelum mereka ditahan dalam operasi tersebut.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di bilik hotel berkenaan sejak empat hari lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, ujian saringan air kencing ke atas pasangan terbabit turut mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu.
“Selain itu, suspek lelaki juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, manakala teman wanitanya terbabit dengan penyalahgunaan dadah sejak Mac lalu,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan. – K! ONLINE