MESKIPUN berdepan banyak kekangan akibat pandemik Covid-19, namun ia tidak menjadi penghalang buat pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying melakukan latihan intensif.
Liu Ying yang bergandingan bersama Chan Peng Soon kini dalam persiapan bagi menghadapi tiga kejohanan pada Sirkit Asia di Bangkok, Thailand yang dijadualkan bermula 12 hingga 31 Januari depan.
Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir seluruh negara sedikit sebanyak menjejaskan program latihan yang sudah dirangka bagi meningkatkan kecergasan dan menajamkan taktikal permainan.
“Berhubung tiga kejohanan di Bangkok pada Januari depan, saya akan menyertainya walaupun persiapan kami sedikit terganggu kerana pelaksanaan PKPB. Memang program latihan sudah dirangka bagi tahun ini bagi menghadapi saingan menjelang tahun depan, namun ia agak terhad ketika ini.
“Sebelum ini kami boleh berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pada setiap Rabu dan Sabtu, namun sekarang kami perlu lakukan latihan bersendirian di rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah Liu Ying, meskipun bimbang dengan kemungkinan berlakunya penurunan prestasi sepanjang tempoh PKPB, pemain kelahiran Melaka itu percaya mereka ada kelebihan sekiranya tenang berdepan situasi tersebut.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga percaya mereka bakal berdepan saingan sukar di Bangkok nanti memandangkan ada pemain yang sudah beraksi secara kompetitif.
“Tidak dinafikan saya memang bimbang dengan prestasi sekarang kerana sudah lama tidak bermain pada kejohanan kompetitif, lebih-lebih lagi kami sukar untuk berlatih sekarang.
“Sebenarnya semua orang berdepan masalah seperti ini, namun sesiapa yang mampu hadapinya akan memiliki kelebihan pada kejohanan di Bangkok itu nanti,” ujarnya.