PRESTASI jaguh lompat jauh paralimpik negara, Abdul Latif Romly cukup memberangsangkan sewaktu mengambil bahagian dalam acara 60 meter (m) pada sesi ujian masa dan jarak kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Latif, 23, bukan sahaja berjaya mencetak masa 6.5 saat (s) menggunakan catatan tangan tetapi turut menewaskan pelari pecut kebangsaan, Nixson Kennedy.
Ia menimbulkan tanda tanya adakah bintang olahraga para dari Perlis itu akan menukar acara daripada lompat jauh kategori T20 (masalah pembelajaran) kepada pecut 100m pada Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun.
Jurulatih lompat jauh para negara, Mohd. Syahrul Amri Suhaimi menjelaskan, tindakan Latif menyertai acara 60m disebabkan ia satu latihan yang dilihat dapat membantu anak didiknya itu mendapat kelajuan maksimum sebelum melakukan lompatan.
“Kita tidak ubah Latif kepada acara larian, dia akan terus dengan lompat jauh. Walaupun ia cuma catatan tangan tetapi saya gembira dengan keputusan larian 60m Latif.
“Jika dia boleh kekalkan kelajuan itu untuk lompat jauh, saya percaya lompatan dia memang bagus. Cumanya kita kena berjaga-jaga supaya Latif tidak mengalami kecederaan.
“Kita akan cuba yang terbaik untuk memastikan Latif dapat mengekalkan pingat emas Sukan Paralimpik untuk edisi di Tokyo tahun depan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, Latif adalah pemegang rekod lompat jauh para dunia dengan jarak 7.64m dilakukan pada Sukan Para Asia 2018 dan juga paralimpik menerusi catatan 7.60m dilakarkan sewaktu edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.