fbpx

36 orang serah diri di Medan 88

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEPANG – Jumlah keseluruhan penghuni dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang telah kembali ke kawasan berkenaan kini berjumlah 36 orang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, setakat pukul 3.30 petang, empat lagi penghuni dari kawasan PKPD di Medan 88 telah menyerah diri.

“Kesemua mereka adalah warga Indonesia yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.

“Mereka yang telah serah diri akan menjalani ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimanapun, polis masih mencari lebih 300 penghuni lagi dari kawasan itu yang dipercayai menghilangkan diri.

Katanya, hasil daripada usaha pihak berkuasa menghubungi majikan setiap premis Medan 88 kelmarin, dijangka seramai 126 orang akan menjalani ujian saringan Covid-19 esok.

“Mereka terdiri daripada majikan dan pekerja kedai dan pejabat di Medan 88,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, berdasarkan rekod, warga asing paling ramai kembali semula ke kawasan itu adalah seramai 23 orang, terdiri daripada 17 lelaki dan enam wanita.

“Pecahan mengikut kewarganegaraan terdiri daripada 13 warga Indonesia, warga Thailand (tujuh) dan masing-masing seorang warga India, Nepal serta Myanmar manakala warga tempatan yang pulang pula adalah seramai 13 orang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai 44 orang disahkan positif Covid-19 hasil saringan sebelum PKPD dilaksanakan yang dikesan menerusi Kluster Bah Medan.

“Sementara itu, jumlah positif saringan selepas PKPD dilaksanakan adalah seramai empat orang dan secara keseluruhannya jumlah positif Covid-19 di Medan 88 adalah seramai 48 orang setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, jumlah semasa penghuni dalam Medan 88 adalah seramai 350 orang manakala jumlah pekerja yang bekerja di Medan 88 tetapi kuarantin di luar adalah seramai 50 orang.

PKPD di kawasan  itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula 12 November lalu sehingga 25 November membabitkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 penduduk. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI