PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu institusi pengajian tinggi awam dan swasta tegas dalam memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, aktiviti keramaian atau program luar kuliah yang menghimpunkan orang ramai dan menyukarkan kawalan keadaan pada satu-satu masa juga hendaklah dielakkan.
Beliau berkata, pihak pentabdiran universiti juga haruslah memastikan mahasiswa, kakitangan akademik dan kumpulan pelaksana tidak berada di dalam ruang rapat dan tertutup dalam tempoh yang lama.
“Kita perlu ambil iktibar ke atas apa yang berlaku kepada Mohamed Salah, bintang bola sepak Liverpool yang disahkan positif Covid-19 hanya beberapa hari selepas dia menghadiri majlis perkahwinan adiknya.
“Menerusi rakaman video dan gambar yang tersebar di media sosial, Salah dilihat melanggar penjarakan fizikal di samping tidak memakai pelitup muka. Tiada siapa pun yang kebal terhadap virus berbahaya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat KPT secara atas talian hari ini.
Noraini berkata, warga KPT termasuk semua pelajar hendaklah memanfaatkan sepenuhnya aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pemantauan.
Beliau berkata, ia penting bagi membantu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) memantau dan menjejaki kontak rapat sekiranya terdapat kes indeks direkodkan.
Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa cakna akan kesejahteraan diri masing-masing.
“Jika berasa demam atau mengalami batuk, sakit tekak, selesema atau sesak nafas, haruslah segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kementerian juga amat prihatin dengan keperluan tenaga pengajar dan juga pelajar di IPT dalam mendakap norma baharu, terutama daripada aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Mahu atau tidak, PdP secara dalam talian merupakan antara norma baharu yang perlu kita santuni secara menyeluruh.
“Selain daripada inisiatif-inisiatif yang telah kerajaan umumkan sebelum ini seperti bantuan kemudahan pakej pelan data dan peranti, keterbukaan dan ketersediaan ekosistem pendidikan tinggi negara terhadap kaedah PdP juga menjadi faktor penting kepada kejayaan kempen ini,” katanya. – K! ONLINE