Saban hari kita mendengar dan melihat kezaliman terhadap haiwan di negara ini, walaupun pelbagai usaha kebajikan serta pelindungan haiwan dijalankan, namun usaha tersebut ibarat ‘mencurah air ke daun keladi sahaja’.
Semakin hari, semakin banyak kes-kes kezaliman terhadap haiwan sehingga kezaliman tersebut dilakukan secara melampau di luar kewarasan akal dan tidak berperikemanusiaan.
Siapa tidak tersentuh atau menitiskan air mata setiap kali melihat penderaan haiwan.
Adakah kita masih mahu mempunyai sikap seperti masyarakat tidak bertamadun dan menjadi bualan serta kecaman warganet antarabangsa, hanya kerana menzalimi haiwan jalanan.
Justeru, pendidikan berterusan serta kempen kesedaran mengenai pelindungan kebajikan haiwan perlu dipertingkatkan memandangkan Malaysia bukannya tempat tinggal untuk golongan pendera haiwan.
Antara kes yang pernah tular di media sosial sebelum ini termasuklah memasukkan kucing dalam mesin basuh, menghempas kucing ke kaki lima kerana memanjat kereta, menendang, melanggar lari dan mematahkan anggota badan kucing.
Selain itu, ada juga individu sanggup menyembur cat pada muka dan menembak kera, memakuk muncung anjing, memakan biawak hidup-hidup, memberi kambing meminum arak dan mematahkan sayap burung.
Mengulas mengenai fenomena ini, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Istajib Mokhtar berkata, kezaliman terhadap haiwan masih tetap berlaku meskipun pelbagai pindaan telah dibuat terhadap akta sedia ada.
Katanya, Akta Kebajikan Haiwan (Akta 772) yang diluluskan Parlimen sejak 2015 akhirnya telah dikuatkuasakan pada Julai 2017 dengan hukuman yang lebih tinggi, penguatkuasaan yang lebih efisyen dan meluaskan.
“Kesalahan penganiayaan haiwan misalnya, menurut seksyen 29 Akta 772, mana-mana orang yang memukul, menyepak, mendera, mencacatkan, meracun, menambat, mengurung secara kejam adalah melakukan kesalahan.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh disabit dengan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Namun, sekalipun undang-undang bahgaru diwujudkan dan dinaikkan denda setinggi manapun, jika pengetahuan dan kesedaran masyarakat masih di takuk lama, kezaliman tetap menjadi kelaziman,” katanya kepada Kosmo!
Tambah Mohd. Istajib, pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk menjaga kebajikan haiwan bermula dari program pendidikan kesedaran sehinggalah ke pemerkasaan polisi dan undang-undang, bagaimanapun masih menemui jalan buntu.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa Institut Penjagaan dan Penggunaan Haiwan Universiti Malaya (UM IACUC) menambah, sejak dahulu lagi, ahli-ahli falsafah barat seperti Aristotle, Rene Descartes, Immanuel Kant, dan Peter Singer telah memperdebatkan status moral haiwan.
“Islam turut menggariskan panduannya menerusi ayat-ayat al-Quran yang diturunkan lebih 1,400 tahun dahulu. Menerusi surah al-Tin ayat 4, dapat difahami bahawa Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian ‘ahsani taqwim’ dengan kurniaan akal.
“Akal inilah yang menjadikan status manusia lebih tinggi daripada haiwan,” ujarnya.
Justeru katanya, sebagai manusia yang diberikan nikmat akal, kita hendaklah sentiasa berfikiran waras dan berperikemanusiaan dalam berinteraksi dengan semua makhluk termasuklah haiwan