fbpx

Dua rakan mengaku tidak bersalah tipu doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan cuba menipu seorang doktor dengan memberikan surat palsu bagi memohon sumbangan majlis bacaan tahlil dan doa selamat Covid-19.

Kedua-dua tertuduh iaitu Mohd. Rizul Fuadzam Abu Bakar, 44, dan Mohamad Razif Mohamad Razlan, 39, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba menipu Dr. Kwan Mun Keong, 50, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa surat mohon sumbangan untuk majlis bacaan tahlil dan doa selamat bagi penularan wabak Covid-19 adalah tulen, bagi tujuan meminta sumbangan wang yang mana dalam pengetahuan mereka surat itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah klinik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, pukul 5.44 petang pada 9 November lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd. Razif menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun Mohd. Rizul Fuadzam merayu jaminan rendah kerana dia yang telah diberhentikan selain perlu menyara isteri yang sedang mengandung serta lima orang anak manakala Mohamad Razif yang merupakan penjual kereta juga memohon jaminan rendah atas alasan dia menyara ibu bapanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Aina Azahra membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu masing-masing diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Januari 2021 untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Sementara itu, di hadapan Mahkamah Majistret lain, Mohd. Rizul Fuadzam turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan surat memohon sumbangan untuk majlis bacaan tahlil dan doa selamat berhubung Covid-19, dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada tempat, waktu dan tarikh sama, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid tidak menawarkan jaminan.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari 2021 untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, doktor terbabit yang ingin memberi sumbangan sebanyak RM10,000 hanya menyedari ditipu setelah meminta rakannya mengenal pasti surat tersebut samada tulen atau palsu.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI