KUALA TERENGGANU – Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Marang ditutup sementara hari ini selepas dikunjungi seorang individu yang disahkan positif Covid-19.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, unit kecemasan klinik yang ditutup operasi pada pukul 1 tengah hari tadi akan beroperasi seperti biasa esok.
“Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Marang telah dikunjungi individu yang menghidap penyakit diabetes terbabit untuk mendapatkan rawatan susulan semalam.
“Dia yang didapati bergejala telah diarahkan untuk melakukan ujian saringan dan keputusan hari ini mendapatinya positif Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azimi berkata, individu itu telah dipanggil untuk dikuarantin bagi proses rawatan di Hospital Hulu Terengganu dan punca jangkitan terhadapnya masih dalam siasatan.
Menurut beliau, Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Marang telah melakukan kerja-kerja sanitasi dan nyahkuman.
“Orang ramai yang mengunjungi klinik kesihatan tersebut pada masa terdekat tidak perlu bimbang kerana operasi telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan dan tiada pendedahan antara individu terlibat dan pesakit lain.
“Buat masa ini proses pengasingan dan penyaringan kontak rapat individu positif Covid-19 terbabit sedang dilakukan,” katanya. – K! ONLINE