PETALING JAYA- Bekas Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin disahkan meninggal dunia sebentar tadi.
Allahyarham yang kini bertugas sebagai Ketua Pengarang Sinar Harian menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas menerima rawatan di pusat perubatan itu.
Berita kematian itu disahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub menerusi satu ciapan di laman Twitter miliknya.
“Hari ini Sinar Harian terpaksa merelakan sebuah lagi kepergian. Semoga Allahyarham Datuk Baharom Mahusin, yang baru menghembuskan nafas terakhir beliau di PPUM damai di sana.
“Saya bersaksi bahawa arwah seorang yang amat baik. Semoga Allah S.W.T. memberi tempat terbaik buat beliau,” katanya.
Difahamkan, jenazah akan dibawa dari PPUM ke Masjid Bilal Bin Rabbah Taman Koperasi Polis Kuala Lumpur sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudthul Sakinah Taman Batu Muda. – K! ONLINE