SETIAP pagi selepas bangun tidur, Shahrul Ambri Samsuddin, 34, terus memandang ke arah rak kayu kecil berwarna putih di kamar rumahnya di Yan, Kedah.
Di atas rak tersebut tersusun puluhan balang kaca. Di dalam setiap balang itu mengandungi air rendaman daun pokok ketapang dan seekor ikan kecil pelbagai warna.
Lazimnya lelaki yang berkhidmat sebagai anggota keselamatan itu menghabiskan masa hampir 30 minit menghayati lenggok badan dan alunan lembut ekor ikan laga peliharaannya.
Ikan laga adalah ikan air tawar kecil yang tergolong dalam genus Betta yang ditemui di sekitar Asia Tenggara.
Dengan menghayati haiwan akuatik tersebut, fikiran bapa kepada dua cahaya mata itu berasa lebih tenang sebelum memulakan hari baharu dalam kehidupan.
“Setiap hari bangun saja tidur, saya mesti tengok ikan-ikan ini terlebih dahulu. Ikan-ikan ini memberi semangat kepada saya sebelum memulakan hari penuh mencabar.
“Apabila melihat ikan ini berenang di dalam air, fikiran saya seperti berada di awangan. Semua masalah dan tekanan hilang seketika,” katanya kepada K2.
Ikan laga dibahagikan kepada tiga keluarga utama iaitu Betta splendens (ikan pelaga siam), Betta imbellis (ikan mengkaring) dan Trichopsis vittata (ikan sempilai).
Shahrul Ambri memberitahu, minatnya memelihara ikan laga mula bercambah ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu ekoran pandemik Covid-19.
Jelasnya, sepanjang tempoh hampir tiga bulan itu, Shahrul Ambri yang diminta bertugas dari rumah oleh majikannya terpaksa mencari hobi baharu dalam usaha mengisi masa terluang.
“Disebabkan terlalu bosan duduk di rumah begitu lama, timbul idea memelihara ikan laga selepas melihat ramai rakannya berbuat demikian.
“Bermula dengan seekor ikan laga dibeli daripada kenalan, kini saya mempunyai lebih 50 ekor daripada pelbagai jenis seperti avatar, half moon, fancy cooper dan candy,” terangnya.
Tegas Shahrul Ambri, dia telah berhabis ribuan ringgit bagi membeli ikan-ikan laga daripada para penjual termasuk pembelian secara online dari Thailand dan Indonesia. Katanya, ikan termahal yang dibelinya adalah berharga RM150 dari jenis half moon.
Mengulas mengenai cara penjagaan, Shahrul Ambri memberitahu, dia memilih menggunakan air rendaman daun pokok ketapang atau dipanggil Millania catappa.
Jelasnya, air daun tersebut dapat membantu mengurangkan tekanan dan merawat luka pada ikan selain mengandungi humin serta tunnin yang mampu merendahkan nilai pH air.
“Daun pokok ketapang ini saya dapati di hujung kampung. Daun ketapang ini membantu menyerlahkan lagi warna ikan laga dan membolehkannya hidup lebih lama,” terangnya.
Berbeza dengan Mohd. Irfan Mohd. Nor, 29, yang mengakui minat memelihara ikan laga kembali bercambah sejak lima bulan lalu semasa duduk di rumah.
Lelaki yang menetap di ibu kota itu terpanggil untuk memelihara ikan laga selepas tertarik dengan kepelbagaian spesies haiwan akuatik tersebut dewasa ini.
Jelasnya, hobi memelihara ikan laga telah berputik sejak remaja lagi dengan menjadikan spesies liar yang diperoleh di paya-paya sekitar kampung halamannya di Kuantan, Pahang.
“Minat memelihara ikan ini sudah ada sejak sekian lama. Dahulu saya bela ikan laga spesies kampung untuk berlawan dengan rakan-rakan.
“Selepas meningkat dewasa, minat itu hilang. Namun, selepas melihat kepelbagaian ikan laga moden ini, minat untuk memelihara ikan laga datang kembali,” tegas anggota polis tersebut.
Ketika ini, Mohd. Irfan mempunyai lebih kurang 300 ekor ikan laga termasuk anak-anak yang dibiakkan sendiri olehnya bagi mendapatkan kombinasi warna menarik.
Ceritanya, hasil pembiakan ikan tersebut kemudiannya dijual dengan harga serendah RM5 seekor kepada rakan-rakan yang berkongsi minat sama.
“Saya bermula dengan memelihara beberapa ekor ikan sahaja. Kemudian, saya cuba biak sendiri bagi menghasilkan warna-warna lebih rare.
“Kebanyakan anak ikan yang dibiak ini saya pelihara sendiri untuk koleksi, namun apabila ada kawan-kawan minta beli, saya terpaksa jual. Saya masih belum terfikir untuk mengkomersialkan hasil pembiakan ini,” ujarnya.
Mohd. Irfan menjelaskan, memelihara ikan laga memerlukan penjagaan yang rapi terutamanya dari segi makanan dan pertukaran air.
Katanya, dia memilih menggunakan makanan berupa kutu air dan palet yang diperoleh di kedai haiwan peliharaan berhampiran dengan kediamannya.
“Biasanya, saya beri ikan makan sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Kalau sibuk, saya minta isteri atau anak yang berikan.
“Air juga penting, ia perlu ditukar sekurang-kurangnya seminggu sekali. Biasanya, saya menggunakan air paip yang disimpan selama berapa hari bagi menurunkan nilai pH,” ujarnya.
Dia menambah, sekiranya air digunakan mempunyai asid berlebihan atau kuman, ikan laga berpotensi mendapat penyakit sirip menguncup, ekor atau sirip mereput dan jangkitan fungus.
Jelasnya, sekiranya ia tidak dirawat akan memberi impak kepada warna dan tubuh ikan laga. Keadaan ini jika berterusan boleh menyebabkannya mati.
“Bagi penggemar ikan laga seperti saya, ikan mati akibat penyakit ini boleh dikatakan sebagai satu lumrah. Sudah banyak kali ikan kesayangan saya mati akibat penyakit.
“Salah satu penyakit yang sering berlaku adalah sirip menguncup atau bahasa mudahnya kulit nenas. Sisik badan ikan akan mengelupas dan menjadi seperti kulit nenas,” ujarnya.
Salah seorang penjual ikan laga, Mohd. Fajiha Alaihis Mustafa, 30, berkata, trend peningkatan permintaan terhadap ikan laga mula ketara sejak pelaksanaan PKP pada Mac lalu.
Katanya, permintaan terhadap ikan laga di kedainya telah meningkat sehingga 100 peratus dengan kemunculan ramai penggemar baharu di seluruh negara.
“Hasil pengamatan saya, permintaan ikan laga ini mula meningkat dengan drastik ketika PKP. Mungkin ramai tertekan terpaksa berkurung di dalam rumah.
“Malah, ada antara pelanggan saya yang kehilangan kerja dan terpaksa menjadi penjual ikan laga bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Mohd. Fajiha mula terlibat dalam penjualan ikan laga sejak tahun 2012 secara kecil-kecilan di rumahnya di Kemaman, Terengganu. Pada tahun 2017, dia mengembangkan perniagaannya dengan membuka sebuah kedai dikenali sebagai Betta MFA Enterprise.
Menurut Mohd. Fajiha, permintaan terhadap ikan laga merangkumi semua jenis seperti half moon, crowntail, double tail, giant dan big ear.
Dia memaklumkan, bekalan ikan diperoleh daripada penjual dari dalam negara dan seberang laut seperti Thailand dan Indonesia.
Tambahnya, harga ikan laga adalah berbeza-beza mengikut umur, saiz, kombinasi warna, spesies dan keaktifannya di dalam air.
“Harga ikan laga di kedai saya bermula serendah RM3 hingga mencecah ribuan ringgit. Spesies ikan laga yang bernilai dan mendapat permintaan tinggi ketika ini adalah avatar.
“Saya pernah menjual sepasang ikan laga avatar dengan harga mencecah RM10,000,” ujarnya.
Avatar merupakan sejenis ikan laga yang mempunyai warna bersinar pada badan dan ekornya seperti watak dalam filem Hollywood, Avatar.
Menariknya, hampir 80 peratus jualan ikan di kedainya adalah melalui platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan WhatsApp.
Ceritanya, ikan yang dibeli akan dibungkus bersama air dan makanan sebelum dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kurier terpilih.
“Pembeli secara online ini adalah dari seluruh negara dan dihantar secara kurier. Setakat ini, tidak ada lagi ikan yang mati apabila diterima oleh pelanggan,” katanya.