PETALING JAYA – Seramai 517 individu ditahan semalam atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 467 individu telah dikompaun manakala 50 individu pula direman.
“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (187), tidak memakai pelitup muka (83), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63), aktiviti di pusat hiburan (56), aktiviti perjudian (42).
“Turut dikenakan tindakan atas kesalahan rentas negeri atau daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (37) dan 49 kompaun atas kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya lagi, seramai 51 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Ops Benteng dengan 274 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan dalam operasi berkenaan membabitkan 54 dilakukan Polis Diraja Malaysia, 210 oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 10 oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus,” ujarnya.
Mengulas mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, seramai 67,555 individu telah pulang ke tanah air bermula 24 Julai sehingga 14 November lalu melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,488 individu sedang menjalani kuarantin wajib manakala 388 individu di bawa ke hospital untuk rawatan,” katanya. – K! ONLINE